Hubungan Malaysia-Rusia Diperkukuh Melalui Kerjasama Kemanusiaan Dan Bencana
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa hubungan antara Malaysia dan Rusia terus diperkukuh melalui kerjasama strategik dalam bidang pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam rasmi bersama delegasi Kementerian Hal Ehwal Kecemasan Rusia (EMERCOM) yang diketuai oleh Kolonel Jeneral Alexander Kurenkov, semalam.
“Pertemuan ini bukan sekadar diplomasi santai makan malam, tetapi satu langkah penting memperkukuh komitmen dua hala antara Malaysia dan Rusia dalam aspek kesiapsiagaan bencana serta bantuan kemanusiaan,” kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pengurusan Bencana melalui hantaran dalam laman Facebooknya.
Menurutnya, Memorandum Persefahaman (MoU) antara EMERCOM dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang kini berada pada fasa akhir perbincangan dijangka membuka laluan kepada kerjasama lebih tersusun melibatkan latihan bersama, perkongsian teknologi dan penggunaan data secara bersama.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa jalinan persahabatan erat ini bakal menjadi asas kepada usaha yang lebih besar dalam memastikan dunia lebih selamat dan bersedia menghadapi sebarang bentuk bencana.
“Apabila dua negara duduk semeja berkongsi cerita, rasa dan harapan, di situlah bermulanya sebuah ikatan yang lebih erat dan bermakna,” katanya lagi. – UMNO Online