Wanita UMNO Lembah Pantai Teguh Depani Cabaran Terus Perkukuh Parti
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Ketua Wanita UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datin Nor Asyikin Jaafar menegaskan bahawa persidangan tahunan Wanita UMNO peringkat bahagian bukan sekadar memenuhi tuntutan kalendar politik, tetapi menjadi simbol komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan antara rakyat dan kerajaan, terutamanya di kawasan terbabit.
Beliau menegaskan, persidangan tersebut menjadi medan bagi menyeru seluruh ahli wanita UMNO terus utuh dan bersatu padu dalam mendepani cabaran semasa, ibarat “segenggam lidi yang sukar dipatahkan”, sekaligus memainkan peranan penting sebagai nadi kekuatan parti di peringkat akar umbi.
“Kita adalah jentera paling hadapan dalam memastikan kekuatan dan kelangsungan parti UMNO di Lembah Pantai. Paling penting, rakyat menerima kehadiran dan perjuangan kita,” ujar beliau kepada UMNO Online mengulas berkaitan kejayaan pelaksanaan persidangannya baru-baru ini.
Nor Asyikin menekankan pendekatan ‘walk the talk’ yang diamalkan oleh Wanita UMNO Lembah Pantai, yang bukan sekadar retorik, tetapi melaksanakan pelbagai inisiatif menyeluruh melibatkan pendidikan, kesihatan, kebajikan, ekonomi, keagamaan serta sosial, demi kesejahteraan masyarakat setempat.
“Perhimpunan itu juga menyaksikan tayangan video pencapaian Wanita UMNO Bahagian Lembah Pantai sepanjang tahun 2024, sekali gus mengiktiraf pengorbanan dan usaha semua pihak yang terlibat dalam mencipta kejayaan tersebut.
“Kita bukan sembang kosong atau ‘sembang kari’. Kita tampil dengan hasil dan impak yang nyata kepada masyarakat,” tegasnya.
Beliau turut memberi amaran kepada ahli-ahli agar tidak terpedaya dengan taktik musuh politik yang bersifat licik dan penuh tipu daya, menyifatkan ‘api dalam sekam’ sebagai ancaman sebenar terhadap kekuatan dalaman parti.
“Kita harus lebih matang, tahu membezakan intan dan kaca. Jangan jadi pak turut yang menggadai prinsip,” tambah beliau.
Dalam masa yang sama, Nor Asyikin juga menyeru agar seluruh jentera wanita bersama-sama menyusun kembali strategi dengan melibatkan tenaga muda serta membina kekuatan melalui bimbingan ahli berpengalaman demi memastikan UMNO Lembah Pantai terus kekal relevan dan bersinar di pentas nasional.
“Saya yakin, dengan sokongan padu daripada ahli dan akar umbi, kita mampu bangkit. UMNO Lembah Pantai akan terus mara seiring bahagian-bahagian lain untuk membina Wilayah Persekutuan yang lebih baik,” katanya lagi. – UMNO Online