Kerancakan Mesyuarat Bahagian Bukti UMNO Terus Jadi Payung Rakyat – MKT
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kerancakan mesyuarat UMNO bahagian yang yang sedang berlangsung di seluruh negara membuktikan suara parti berkenaan terus menjadi payung kepada masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata suasana itu juga memperlihatkan parti berkenaan terus mekar melangkah biarpun diuji dengan pelbagai halangan dan rintangan.
Bagi beliau itulah yang membezakan UMNO dan parti-parti lain yang mana akar umbi parti terus kukuh dan bergerak dalam satu saf permuafakatan yang sebaiknya dalam mendepani gelora cabaran mendatang.
“Alhamdulillah… suasana pada hujung minggu UMNO di peringkat bahagian seluruh negara tidak lekang dengan mesyuarat masing-masing dan perjalanan mesyuarat yang teratur serta disusun sebaiknya di seluruh negara.
“Suara-suara mereka yang hadir sebagai perwakilan merupakan lontaran dan pandanganyang dikemukakan untuk sama-sama berganding bahu dalam melaksanakan tanggungawab sebagai payung kepada orang-orang Melayu serta rakyat secara amnya.
“Insya-Allah saya penuh yakin dan percaya inilah lambang dan inilah nadi kekuatan parti yang sehingga ke hari ini mampu bergerak dengan cara tersendiri apatah lagi sebagai salah sebuah parti yang menunjangi Kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya kepada UMNO-Online.
Sharkar seterusnya berharap para perwakilan yang hadir ke mesyuarat UMNO bahagian masing-masing dapat menggunakan ruang berkenaan sebaiknya untuk parti.
Tegas beliau janganlah pula ada yang menjadikan ianya sebagai medan untuk mencapai agenda kepentingan diri masing-masing kerana ianya tidak mendatangkan apa-apa manfaat untuk UMNO.
“Tindakan sedemikian hanya akan menimbulkan suasana yang tidak sihat kepada parti. Marilah kita bersama-sama berganding bahu dengan pelbagai peringkat kepimpinan dan ahli serta pendokong yang lain dengan meletakkan parti sebagai keutamaan,” ujarnya. – UMNO Online