Sambutan Program ‘Radu Tatap Radu’ Cerminan Keyakinan Rakyat – Musliati
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Exco Wanita UMNO Musliati Moslimin percaya sambutan yang yang amat memberansangkan masyarakat setempat terhadap program ‘Radu Tatap Radu’ Barisan Nasional (BN) negeri berkenaan memperlihatkan senario yang terbaik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bagi beliau yang juga Ketua UMNO Kota Kinabalu program tersebut yang dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) menampakkan suasana yang cukup meriah dan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat pelbagai peringkat.
“Alhamdulillah semalam berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sentosa DUN Kukusan. Kehadiran begitu ramai dengan pimpinan pelbagai peringkat turut hadir memeriahkan program tersebut.
“Majlis disempurnakan Datuk Yakub Khan Pengarah Program yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Kehadiran pimpinan lain termasuklah Bendahari UMNO Negeri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Ketua UMNO Kalabakan, Hj Samasudin Yusof serta lain-lain menceriakan lagi suasana.
“Paling diraikan tentunya kehadiran masyarakat setempat yang ingin bersama-sama dengan kita dalam perjuangan di negeri Sabah. Insya Allah inilah yang akan terus diusahakan demi kemenangan parti nanti, insya Allah,” ujarnya menerusi perkongsian di Facebook.
Kata beliau lagi pelbagai pengisian yang diatur sempena program tersebut mencerminkan kesungguhan dan komitmen parti untuk terus bersama-sama dengan masyarakat setempat.
“Program santai bersama anak muda serta pengisian yang memenuhi citarasa masyarakat setempat lain memeriahkan lagi suasana dan Alhamdulillah kita akan teruskan lagi dengan kawasan lain,” tambahnya.- UMNO Online