UMNO Sabah Tolak Sentimen Kenegerian – Jamal Nerubi
PAPAR, 19 Jun 2025 – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi menegaskan bahawa UMNO merupakan sebuah parti kebangsaan yang dipimpin oleh anak jati Sabah di negeri itu, sekali gus menolak tanggapan bahawa parti itu didominasi oleh pemimpin dari Semenanjung.
Beliau berkata, semua Ketua UMNO Bahagian di Sabah adalah rakyat tempatan, dan perkara itu membuktikan bahawa UMNO Sabah dikendalikan oleh orang Sabah sendiri.
“Pemimpin UMNO Sabah juga mampu menjadi peneraju dan mentadbir negeri ini dengan baik. Jangan sesekali memainkan sentimen kenegerian kerana ia boleh memecah-belahkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut menegaskan bahawa pemimpin UMNO Sabah berkeupayaan mentadbir negeri ini dengan baik dan menyeru supaya sentimen kenegerian tidak dimainkan dalam politik tempatan.
“Jangan sesekali memainkan sentimen kenegerian kerana ia boleh memecah-belahkan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.
Beliau juga menolak sebarang usaha pihak tertentu yang cuba menafikan hak rakyat Sabah untuk bertanding di mana-mana kerusi pilihan raya.
“Saya orang Sabah. Jangan ada mana-mana pihak menafikan hak saya sebagai rakyat Sabah untuk bertanding di mana-mana kerusi pilihan raya,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa jentera Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang kini sudah bersedia sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau merayu kepada Pengerusi BN Sabah agar mengembalikan kerusi DUN Kawang kepada BN.
“Kami yakin DUN Kawang boleh menyumbangkan kemenangan kepada BN, sekali gus membantu gabungan ini kembali menerajui Kerajaan Negeri Sabah,” katanya lagi.
Terdahulu beliau bersama-sama memeriahkan pgrogram GERAK17 di DUN Kawang yang disempurnakan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Ahad.
GERAK 17 telah dilancarkan oleh UMNO Sabah akhir tahun lalu dengan matlamat untuk mencapai kemenangan dalam PRN ke-17 iaitu gerak kerja menemui pemimpin parti di peringkat akar umbi, menyampaikan maklumat berhubung isu-isu politik semasa selain memantau tahap kesiapsiagaan bahagian-bahagian menghadapi PRN.
Program ini dirancang untuk kesemua 73 DUN, di sini. – UMNO Online