Ahmad Zahid Hargai Pendidik KEMAS, Penerang Jalan Generasi Masa Hadapan
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan penghargaan kepada warga pendidik KEMAS di seluruh negara sempena Hari Pendidik KEMAS 2025 yang disambut hari ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ini kerana di sebalik kejayaan anak bangsa, tersembunyi peranan besar para pendidik dan pemaju masyarakat KEMAS yang telah mencurahkan bakti di peringkat akar umbi.
“Tanpa keikhlasan dan dedikasi mereka membimbing dari usia muda, sukar untuk kita membayangkan bagaimana masyarakat desa dapat terus maju dan berkembang seperti hari ini.
“Ketulusan anda membina asas literasi, sahsiah dan jati diri anak bangsa adalah sumbangan yang sangat besar dan tidak ternilai harganya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurutnya lagi, tema sambutan ‘Di Sini Bermula’ amat bertepatan dengan hakikat peranan para guru KEMAS sebagai antara individu pertama yang memperkenalkan dunia ilmu kepada anak-anak kecil.
Katanya lagi ini kerana di KEMAS anak-anak kecil ini mula belajar menyebut huruf, mengenal angka, membina keyakinan diri dan memahami erti hormat.
“Di sinilah langkah awal mereka menuju masa depan bermula. Teruskan menyemai ilmu dengan penuh kasih sayang dan komitmen.
“Insya-Allah, usaha murni ini akan terus mewarnai masa depan negara dengan generasi yang berilmu, beradab dan berjati diri. Selamat Hari Pendidik KEMAS 2025!” ujar beliau. – UMNO Online