Susun Langkah, Perkemas Tindakan Demi Keberkesanan Dasar Kerajaan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kepentingan menyusun langkah dan memperkemaskan tindakan pelaksanaan projek pembangunan kerajaan agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Dalam satu pertemuan bersama Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Seri Solehuddin Alyubi Zakaria di pejabatnya di Putrajaya hari ini, beliau menekankan peranan strategik ICU sebagai jentera utama yang menyelaras pelaksanaan dasar dan projek pembangunan kerajaan di pelbagai peringkat.
“Saya menghargai segala usaha berterusan pasukan ICU dalam memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan, tepat ke sasaran dan mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Menurut beliau, penyatuan gerak kerja serta penambahbaikan yang berterusan amat penting bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan dasar sentiasa menjadi keutamaan.
“Insya-Allah, dengan kerjasama bersepadu dan pendekatan berpaksikan keperluan sebenar rakyat, kita akan terus memperkukuh dasar-dasar kerajaan dan menyampaikannya tepat ke sasaran,” tambahnya lagi. – UMNO Online