Ziarah Kasih Perkukuh Ukhuwah, Semarakkan Perjuangan Wanita UMNO Sabah

KALABAKAN, 19 Jun – Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris meneruskan agenda mendekati rakyat apabila turun padang dalam Program Ziarah Kasih anjuran Wanita UMNO Sabah bersama Wanita UMNO Bahagian Kalabakan yang diadakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sentosa, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan pada Selasa.

Ujarnya, program tersebut bukan sahaja menjadi platform menyantuni rakyat, malah memperkukuh jalinan silaturahim antara kepimpinan wanita negeri dan akar umbi setempat, khususnya golongan wanita yang menjadi tulang belakang kekuatan parti.

“Program Ziarah Kasih ini memberi tumpuan kepada golongan yang kurang bernasib baik termasuk warga emas yang uzur, ibu tunggal dan keluarga miskin yang memerlukan perhatian.

“Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban hidup mereka, tetapi juga memberikan sokongan moral agar mereka tidak merasa tersisih dalam masyarakat. Inilah komitmen UMNO, khususnya Wanita untuk terus dekat dengan rakyat serta memahami denyut nadi kehidupan seharian mereka.

“Peranan sebegini dalam perjuangan UMNO tidak harus dipandang ringan kerana parti ini adalah landasan kepada rakyat yang paling efektif di peringkat komuniti untuk menyalurkan keperluan dan sebagai masalah agar kelak dapat ditangani, insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen tinggi anggota parti khususnya jentera Wanita yang terus teguh berdiri mempertahankan prinsip perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“Program seperti ini amat penting kerana ia memperlihatkan keprihatinan kita terhadap masyarakat setempat yang sering memerlukan perhatian dan sokongan. Inilah pendekatan sebenar UMNO iaitu mendekati, memahami dan membantu rakyat secara langsung,” katanya.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, Chaya Sulaiman dan barisan kepimpinan wanita di peringkat cawangan serta para sukarelawan tempatan.

Ujar Noraini, di samping aktiviti ziarah, kesempatan juga dapat dilaksana dengan beramah mesra, serta perkongsian isu-isu semasa berkaitan pembangunan komuniti dan wanita bersama masyarakat setempat.

“Dalam suasana penuh mesra dan harmoni, penduduk PDM Sentosa menyambut baik kehadiran kami malah memberi harapan agar perjuangan parti terus disemarakkan, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Apa yang pasti, program ini jelas memperlihatkan iltizam Wanita UMNO Sabah dalam memperkukuh gerak kerja akar umbi dan memastikan setiap segmen masyarakat tidak terpinggir daripada perhatian dan sokongan parti,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79