Perkukuh UMNO Dengan Penilaian Dalaman, Kenali Akar Umbi Parti – Tengku Hafiz
PUTRAJAYA, 18 Jun – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan agar UMNO melaksanakan penilaian dalaman secara menyeluruh bagi memahami tahap sokongan sebenar ahli terhadap parti, khususnya dalam kalangan akar umbi dan generasi muda.
Beliau menegaskan bahawa usaha ini amat penting bagi memastikan segala strategi dan tindakan parti selepas ini berpandukan data serta gambaran sebenar sentimen dalam parti, bukan semata-mata berdasarkan andaian atau persepsi lama.
Menurutnya, landskap politik negara kini telah berubah secara drastik, dan UMNO tidak boleh terus bergantung kepada kekuatan sejarah atau sokongan tradisi tanpa memahami realiti semasa dalam kalangan ahli sendiri.
“Kita kena jujur dan terbuka. Kita perlu selidik dan fahami, sokongan ahli UMNO sebenarnya ke mana? Benarkah mereka masih setia dan cinta kepada parti? Jika ya, maka mereka perlu buktikan melalui kerja buat, komitmen dan kesungguhan untuk bersama menggerakkan jentera parti,” ujarnya kepada UMNO Online susulan cabaran Ketua UMNO Bahagiannya untuk melaksanakan penilaian terhadap ahli-ahli UMNO di Putrajaya sendiri.
Tengku Mohammed Hafiz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, penilaian dalaman ini bukan bertujuan untuk menghukum mana-mana pihak, sebaliknya sebagai satu langkah pembaikan bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalaman yang boleh ditambah baik secara strategik.
“Kajian dan penyelidikan yang terperinci perlu dilaksanakan di semua peringkat bermula dari cawangan dan bahagian bagi mendapatkan gambaran jelas tentang sejauh mana kesetiaan, kepercayaan dan tahap penglibatan ahli terhadap hala tuju dan kepimpinan UMNO hari ini.
“Kalau kita mahu kembali kuat dan diyakini rakyat, kita mesti mulakan dengan pemerkasaan dalaman. Jangan tunggu pilihan raya baru nak gerak. Kita kena tahu sekarang, siapa bersama kita dan siapa yang perlukan pendekatan baru. Tanpa maklumat ini, kita hanya bergerak dalam gelap,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan dalam UMNO bukan lagi boleh bersifat peribadi atau kelompok, sebaliknya, ia menuntut kesatuan pemikiran dan tindakan yang selari dengan matlamat besar iaitu memperjuangkan kepentingan rakyat secara menyeluruh.
“Kekuatan UMNO hari ini bukan lagi terletak pada nostalgia. Ia bergantung kepada keupayaan kita memahami suara akar umbi, melakukan pembaharuan dan menyusun strategi dengan telus serta jujur,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru agar seluruh kepimpinan parti memberi ruang dan sokongan terhadap cadangan ini agar ia dapat dijayakan dengan baik dan profesional.
“Jangan anggap ini sebagai ugutan atau ancaman. Sebaliknya ini adalah peluang untuk kita melihat ke dalam, memperbaiki apa yang kurang dan membina kembali kekuatan dari asas,” ujarnya lagi. – UMNO Online