APR: Malaysia Komited Perjuang Keterangkuman, Kelestarian – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Malaysia tetap komited untuk memperjuangkan keterangkuman, kelestarian dan multilateralisme tulen meskipun dalam dunia yang semakin kompleks serta tidak menentu.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa beliau telah menyampaikan ucapan di majlis Welcoming Dinner of the 38th Asia Pacific Roundtable (APR) anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) pada Selasa.
“Menyampaikan ucapan aluan di majlis Welcoming Dinner of the 38th APR anjuran ISIS Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur.
“Dalam ucapan, saya tekankan bahawa majlis ini bukan sekadar mengumpulkan hadirin dan menjadi pemerhati perkembangan dunia, tetapi sebagai pemegang amanah masa depan serantau.
“Dalam dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu, Malaysia tetap komited memperjuangkan keterangkuman, kelestarian, dan multilateralisme yang tulen,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, ASEAN perlu kekal utuh dan rantau Asia Pasifik harus menjadi suara yang didengari serta dihormati.
“Krisis di Myanmar, konflik di Gaza, dan cabaran global seperti perubahan iklim serta teknologi tanpa kawalan, semuanya menuntut suara berani, pendekatan pragmatik dan tindakan kolektif.
“ASEAN juga perlu kekal utuh dan rantau Asia-Pasifik harus menjadi suara, bukan hanya didengari tetapi dihormati,” katanya. – UMNO Online