UMNO Segambut Terus Perkukuh Semangat Kebersamaan, Khidmat Tanpa Henti
SEGAMBUT, 17 Jun – UMNO Bahagian Segambut terus membuktikan komitmennya dalam memperkukuh silaturrahim serta menyemarakkan semangat perpaduan di kalangan generasi muda sebagai usaha yang tidak pernah terhenti untuk menyemarakkan perjuangan parti.
Hal tersebut direalitikan menerusi penganjuran Program Karom Tertutup Penchala, yang berlangsung meriah dengan penyertaan aktif daripada anak-anak muda tempatan.
Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Mahadhir Sulaiman memuji usaha dan semangat kesatuan yang ditunjukkan dalam program tersebut, lantaran ia mencerminkan keupayaan UMNO menjayakan kebersamaan di peringkat akar umbi.
Ujarnya, program santai yang dianjurkan secara bersama oleh tiga cawangan UMNO iaitu Cawangan Sri Penchala, Cawangan Penchala Link dan Cawangan Kampung Palimbayan, adalah keupayaan mewujudkan kepelbagaian dalam meneruskan perjuangan UMNO.
“Inilah wajah UMNO iaitu dekat dengan rakyat, bersama anak muda dan terus bekerja tanpa mengira musim. Program seperti ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi membawa mesej besar bahawa UMNO sentiasa relevan dan menjadi penggerak perpaduan masyarakat setempat,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada penyumbang-penyumbang dan NGO yang membantu menjayakan acara tersebut, serta memuji kerjasama erat antara sayap Pemuda UMNO dan cawangan-cawangan yang terlibat dengan masyarakat setempat.
“Biarpun program ini dibuat dalam skala kecil namun impaknya cukup besar khususnya kepada anak-anak muda yang lebih terarah dengan suasana santai. Pendekatan kami tidak pernah kenal erti penat dalam menyantuni akar umbi, terutamanya generasi muda yang merupakan aset penting dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti.
“Program seperti ini sangat penting dalam membina kekuatan akar umbi dan memupuk semangat kebersamaan. Ia bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi ruang untuk kita menanam nilai ikatan silaturrahim, kerjasama dan hormat antara generasi muda UMNO
“UMNO bukan sekadar parti politik, ia adalah institusi khidmat rakyat. Selama puluhan tahun, UMNO terbukti sentiasa berada di barisan hadapan membela rakyat iaitu dari soal kebajikan, pendidikan, hinggalah kepada aktiviti kemasyarakatan. Hari ini kita buktikan lagi bahawa khidmat UMNO tidak pernah terhenti,” tegasnya.
Jelas beliau, program seperti ini juga membuktikan kecekapan dan keprihatinan UMNO Segambut dalam mendekati masyarakat secara langsung, sekali gus memperkukuh asas perjuangan parti dalam membina pelapis kepimpinan muda yang dinamik dan berdaya saing.
“Kami yakin bahawa pendekatan akar umbi yang bersifat inklusif ini akan terus memperkukuh kedudukan parti di hati rakyat, bukan hanya di kala pilihan raya, tetapi dalam kehidupan harian masyarakat secara keseluruhan,” katanya lagi. – UMNO Online