Sambutan Meriah HTN Bukti TVET Semakin Diterima Generasi Muda – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Sambutan meriah yang diterima pada Hari TVET Negara (HTN) yang berlangsung minggu lalu menunjukkan bahawa bidang tersebut makin diterima oleh generasi muda.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau gembira apabila melihat anak-anak muda yang bersemangat dan yakin dengan masa depan dalam bidang tersebut.
“Saya kongsikan momen semasa melawat ke reruai-reruai yang terdapat di MITC, Ayer Keroh Melaka, sempena Sambutan HTN yang berlangsung pada Khamis lepas.
“Gembira melihat anak-anak muda yang begitu bersemangat dan yakin dengan masa depan mereka dalam bidang teknikal serta vokasional. Sambutan yang sangat meriah ini menunjukkan betapa TVET semakin diterima sebagai pilihan utama kerjaya oleh generasi muda hari ini.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Hari TVET Negara 2025. Insya-Allah, usaha kita akan terus diperkasa demi melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang bersedia mencorak masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Untuk rekod, HTN yang telah berlangsung pada 11 sehingga 13 Jun lalu di MITC Melaka menawarkan demonstrasi kerjaya, sesi temuduga segera dengan syarikat multinasional dan peluang latihan kemahiran untuk rakyat Malaysia serta ASEAN.
HTN juga telah menerima lebih daripada 142,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung, menunjukkan bahawa usaha kerajaan memperkasa anak-anak muda melalui bidang kemahiran disambut baik oleh rakyat. – UMNO Online