Pendekatan “3T 1M” Bukan Sekadar Slogan, Tapi Falsafah Kerja – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua UMNO Bahagian Seputeh merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan bahawa pendekatan “3T 1M” yang diamalkan oleh UMNO Johor bukan sekadar slogan politik, sebaliknya merupakan satu falsafah kerja yang menuntut keberanian untuk berubah, kecekapan dalam tindakan serta disiplin dalam pelaksanaan.

Menurut Razlan, perkara tersebut dizahirkan sendiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam perkongsian semasa merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Seputeh, semalam yang disifatkan sebagai sangat terbuka dan ikhlas.

“Dalam ucapan saya semalam, saya mohon Datuk Onn Hafiz berkongsikan resipi atau formula kerja luar biasa beliau sebagai Menteri Besar Johor hari ini. Tanpa berselindung mahupun menyimpan secara berseorangan, beliau berkongsi secara terbuka bagaimana caranya mengharungi dunia pentadbiran moden yang serba mencabar dan pantas berubah.

“Menurutnya UMNO Johor melaksanakan pendekatan “3T 1M” sebagai tunjang gerak kerja dan sebagai teras utama dalam kepimpinan dan pengurusan.

“Pendekatan 3T 1M ini bukan hanya rangkaian kata-kata yang sedap didengar. Ia menuntut keberanian seorang pemimpin untuk turun ke lapangan, bekerja secara berpasukan, menyelesaikan masalah secara luar biasa dan sentiasa memantau pelaksanaan agar tidak tinggal atas kertas semata-mata,” tegas Razlan.

Beliau menjelaskan bahawa 3T 1M merangkumi empat elemen utama iaitu Turun Padang, Teamwork, Te Syie Te Pan dan Micromanage dengan keseluruhan pendekatan ini memberi penekanan kepada tindakan langsung, kerjasama erat antara jabatan, pengurangan birokrasi dan pemantauan ketat terhadap pelaksanaan dasar dan projek.

“Falsafah kerja ini amat relevan bukan sahaja untuk pentadbiran negeri, tetapi juga untuk kepimpinan parti dan jentera politik. Kita tidak boleh lagi berada dalam zon selesa. Jika mahu UMNO terus relevan, pendekatan seperti ini perlu diterapkan oleh semua peringkat kepimpinan,” katanya.

Razlan turut menyeru agar UMNO di seluruh negara mengambil pendekatan ini sebagai model kerja, terutama dalam usaha memperkukuh keyakinan rakyat terhadap parti.

Menurut beliau, rakyat menilai parti bukan hanya melalui ucapan, tetapi melalui tindakan dan hasil yang boleh dirasai di peringkat akar umbi.

“Slogan tidak akan membawa perubahan tanpa tindakan. Apa yang ditunjukkan oleh kepimpinan Johor adalah bukti bahawa jika kita berani berubah, berdisiplin dan bertindak pantas, rakyat akan melihat dan menghargai usaha tersebut,” tambahnya.

Jelasnya, inilah masa untuk UMNO bangkit dengan semangat baharu, dibimbing oleh prinsip kerja yang jelas, tersusun dan berpaksikan tindakan yang berkesan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79