Ucapan Presiden UMNO Sarat Amanat, Penegasan Hala Tuju Parti – Mohd Zaidy
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidi Abdul Kadir menyifatkan ucapan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah peringatan tegas kepada anggota parti agar tidak terperangkap dengan permainan pihak lawan.
Katanya, dalam ucapan perasmian UMNO Bahagian Port Dickson semalam, Presiden UMNO itu telah menegaskan bahawa UMNO mesti kekal sebagai parti tunjang perjuangan bangsa, agama dan negara dengan setiap pemimpin dan ahli akar umbi perlu memperkukuh kesetiaan, memperhebat perpaduan serta mempertingkat gerak kerja demi masa depan parti dan rakyat.
“Ucapan beliau sarat dengan amanat, peringatan serta penegasan tentang hala tuju UMNO sebagai parti tunjang perjuangan bangsa, agama dan negara.
“Kehadiran beliau menjadi suntikan semangat kepada seluruh kepimpinan dan ahli-ahli akar umbi untuk terus setia, bersatu dan memperkukuh perjuangan UMNO dalam landskap politik yang semakin mencabar,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang turut hadir dalam persidangan terbabit juga mengucapkan tahniah kepada UMNO Bahagian Port Dickson atas penganjuran yang tersusun dan penuh tertib.
“Ucapan ini bukan sekadar peringatan, tetapi satu seruan untuk semua kita kembali kepada asas perjuangan UMNO yang tulen – mempertahankan maruah bangsa, memperjuangkan agama, dan membela nasib rakyat,” katanya.
Persidangan yang berlangsung dalam suasana tertib dan penuh semangat ini membuktikan komitmen UMNO Port Dickson dalam menggerakkan seluruh jentera untuk memastikan parti terus kekal relevan dalam landskap politik tanah air.
Terdahulu, Ahmad Zahid memulakan perasmian persidangan bahagian UMNO di Bagan Datuk pada 14 Jun diikuti sehari berikutnya di Port Dickson.
Terdahulu persidangan UMNO peringkat Cawangan telah berlangsung pada 7 April hingga 25 Mei lalu dan kini Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dijadualkan pada 9 Jun hingga 27 Julai 2025.
Menyusul seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online