Tiada Istilah Melayu-Islam Terancam, Kita Lebih Agresif Pertahankan – Mohd Faizal
PORT DICKSON, 16 Jun – UMNO/Barisan Nasional (BN) semakin agresif mempertahankan agenda Melayu-Islam ketika berada dalam Kerajaan Perpaduan melalui pelbagai inisiatif.
Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, keberadaan UMNO/BN bersama Kerajaan Perpaduan juga adalah untuk memperkukuhkan parti agar terus relevan pada masa akan datang.
“Keberadaan kita dalam Kerajaan Perpaduan ini adalah untuk memperkukuhkan parti. Banyak inisiatif kita telah buat seperti TVET, tabika pra-tahfiz, MRSM dan sebagainya. Tiada istilah Melayu terancam malah kita lebih agresif.
“Saya yakin dan percaya jika sokongan ini berterusan, tidak mustahil satu hari nanti kita akan kembali dominan di negara ini. Tetapi kita perlu berikan sokongan. Jangan goyah dengan agenda ‘payung besar’ pihak lawan.
“Cukuplah kita kena tipu pada tahun 2018… yang mengalahkan UMNO ialah Tun Mahathir. Siapa yang mula kerjasama dengan Dap? Mahathir… bukan kita. Jadi, kenapa hari ini kita nak terikut-ikut dengan cerita ‘payung besar’ ini?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Port Dickson, di sini, pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam pada itu berkata, kelancaran dan kehadiran cemerlang para perwakilan ke mesyuarat cawangan memberi petanda bahawa sokongan rakyat terutamanya para ahli telah kembali kepada parti.
“Kesetiaan ini bukan satu perkara yang mudah. Ramai bercakap soal kesetiaan tetapi nak melaksanakannya bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main-main.
“Untuk makluman, UMNO Bahagian Port Dickson mempunyai 53 cawangan dan alhamdulilah kesemuanya telah pun melaksanakan mesyuarat masing-masing. Semuanya berjalan dengan lancar dan kehadiran juga cukup baik. Tahniah kepada semua pemimpin cawangan.
“Pada tahun ini saya menyaksikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Mohd Najib Mohd Isa turun untuk merasmikan mesyuarat cawangan-cawangan. Perjalanan dan kehadiran memberi makna bahawa rakyat terutamanya ahli itu sendiri sudah kembali yakin bahawa UMNO boleh pergi lebih jauh pada masa akan datang,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menyeru seluruh ahli dan akar umbi untuk bekerja sehabis baik untuk meletakkan UMNO/BN dominan semula dalam mengemudi negara.
“Ini adalah satu petanda yang menunjukkan bahawa rakyat kembali memberi sokongan. Seperti biasa, ada beberapa isu dibangkitkan ketika mesyuarat cawangan berlangsung terutamanya soal kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutamanya Dap. Isu UMDap ini masih lagi berlegar.
“Saya merasakan bahawa keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (bersama Kerajaan Perpaduan) bukan berdasarkan emosi. Saya yakin dan percaya setiap keputusan dibuat Presiden parti adalah yang terbaik.
“Sebenarnya, kita ini terlalu defensif. Dahlah defensif, malah kita sendiri suka kongsi apa yang pembangkang kata kepada kita. Ada juga kita sendiri yang ‘condemn’ kita. Sepatutnya, kalau kita nak menang… buat cara nak menang.
“Kalau kita menang dan jadi dominan balik… bukan setakat di Negeri Sembilan malah seluruh negara. Tetapi ahli-ahli UMNO kena yakin, jujur dan ikhlas dalam soal perjuangan serta kesetiaan itu yang paling penting,” katanya lagi. – UMNO Online