Wanita UMNO Ikrar Terus Bersetia, Kekal Utuh Bawa Perjuangan Parti
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meluahkan kesyukuran apabila Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong yang berlangsung pada semalam berakhir dengan jayanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong menyifatkan penglibatan para perwakilan pada persidangan tersebut membuktikan semangat kebersamaan dalam membawa perjuangan parti.
“Melihat komitmen yang ditampilkan para pembahas dan semangat ditunjukkan oleh para perwakilan ternyata walau apa yang berlaku, ribut dan badai, Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong akan tetap fokus dengan perjuangan parti dan menyantuni ahlinya tanpa jemu,
“Tahniah diucapkan kepada semua perwakilan Wanita UMNO cawangan-cawangan yang hadir dan sentiasa bersemangat dari awal pagi sehinggalah persidangan ditangguhkan.
“Syabas juga buat semua pembahas yang telah mengambil bahagian. Terima kasih di atas segala cadangan dan lontaran idea yang membina semasa sesi perbahasan usul dan ucapan penangguhan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Noraini dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub yang merasmikan Mesyuarat Perwakilan tersebut.
Sementara itu menerusi perkongsian berbeza, Noraini turut berbesar hati merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Ledang yang juga berlangsung pada semalam.
“Melihat dewan yang dipenuhi dengan wanita-wanita hebat bertudung dan berkain merah, saya yakin dan percaya bahawa api perjuangan UMNO dalam diri setiap perwakilan yang hadir ini tidak pernah luntur! Wanita tetap setia bersama parti keramat ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut sama merakamkan penghargaan kepada Ketua Wanita UMNO Bahagian Datuk Fahariyah Md Nordin serta seluruh barisan kepimpinan Wanita UMNO Bahagian Ledang di atas komitmen dan kejayaan mengadakan mesyuarat bagi tahun ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abdull Talib, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Sahrihan Jani serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian Ledang. – UMNO Online