Perjuangan UMNO Belum Selesai, Kesetiaan Ahli Tidak Berbelah Bahagi – Nurul Amal
KUALA LUMPUR, 16 Jun – “Perjuangan ini belum selesai. Harapan rakyat begitu tinggi. Kesetiaan kepada parti melebihi segalanya.”
Demikian antara ungkapan penuh makna oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timor 2025, semalam.
Ujarnya, kehadiran beliau bukan sahaja menyemarakkan lagi semangat perjuangan di peringkat akar umbi, malah menjadi simbol kekuatan dan kesatuan dalam kalangan sayap-sayap parti yang menjadi tunjang kepada kelangsungan UMNO dalam arus perjuangan politik tanah air.
“Melihat sifat kekeluargaan mereka di dalam UMNO rasanya boleh menjadi contoh di tempat lain.
“Semoga doa kita semua diangkat Ilahi, keikhlasan dan kejujuran untuk sama-sama melihat kejayaan,” katanya menerusi hanatarn di laman Facebooknya.
Nurul Amal turut menzahirkan penghargaan kepada UMNO Bahagian Ipoh Timor atas semangat yang ditunjukkan, khususnya kepada Ketua Bahagian, Datuk Azian Osman.
Beliau menyifatkan budaya kerja dan semangat muafakat yang dizahirkan di Ipoh Timor sebagai contoh terbaik kepada seluruh jentera UMNO di seluruh negara.
“Majlis ini menjadi medan penting untuk memperkukuh saf kepimpinan, menyatukan tekad serta membakar semangat juang dalam kalangan ahli-ahli UMNO yang sentiasa setia dan gigih mempertahankan wadah perjuangan bangsa, agama dan negara.
“Ipoh Timor hari ini menyaksikan gelombang kebangkitan semangat baru semangat wanita yang perkasa, pemuda yang berani dan puteri yang berdedikasi semuanya bersatu hati demi meneruskan legasi perjuangan dan memastikan UMNO terus relevan dan disegani di persada politik negara.”
Beliau menyeru agar seluruh sayap parti terus mengangkat martabat UMNO sebagai wadah perjuangan yang relevan, disegani dan dihormati. – UMNO Online