UMNO Bagan Datuk: Kukuh Di Akar, Teguh Di Puncak
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Sebagai anak jati Bagan Datuk, tanah itu sentiasa menjadi nadi kepada perjalanan perjuangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu catatan di Facebooknya, Ahmad Zahid berkata di situlah segalanya bermula serta setiap langkah yang beliau ambil dalam kancah politik dan kepimpinan sentiasa berakar pada suara serta denyut rasa masyarakat di kawasan.
Lanjutan itu, Ahmad Zahid bersyukur pada Sabtu beliau berpeluang bersama sahabat seperjuangan UMNO kawasan itu serta merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk Tahun 2025 dengan tema ‘Kukuh di Akar, Teguh di Puncak’.
“UMNO terus berdiri teguh kerana ia sentiasa memahami nadi rakyat. Keutuhan parti ini lahir daripada iltizam ahlinya yang tidak pernah lelah menyambung warisan perjuangan dengan jiwa yang bersih serta semangat yang jitu.
“Anak-anak muda hari ini adalah penjaga masa depan parti, dan selama akar perjuangan ini dijaga dengan kasih serta keikhlasan, UMNO akan terus menjadi pohon yang memberi teduh kepada bangsa dan negara,” kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi.
Jelas Ahmad Zahid lagi, kesetiaan yang paling luhur ialah apabila tetap berdiri ketika ribut melanda.
“Kita pernah diuji dengan kehilangan kuasa, namun tidak goyah pada prinsip. Kita pernah dihentam dengan fitnah, namun kewarasan tetap memandu langkah.
“Kita pernah dihina, namun maruah tidak pernah tergadai. Inilah kekuatan sebenar warga UMNO Bagan Datuk,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengucapkan penghargaan kepada seluruh warga UMNO Bagan Datuk yang sentiasa bersama beliau dalam susah dan senang.
“Kalian adalah pejuang tulen yang terus memegang panji parti dengan kesetiaan yang tidak bertempoh.
“Teruskan bekerja untuk rakyat. UMNO Bagan Datuk akan tetap berdiri dan terus berbakti,” serunya. – UMNO ONLINE