Kesatuan Sekerja Perlu Lebih Proaktif Bela Nasib Ahli
ALOR GAJAH, 14 Jun – Kesatuan sekerja di Melaka disaran lebih proaktif dalam menjaga kebajikan ahli mereka yang terdiri daripada pekerja dalam pelbagai sektor menerusi inisiatif dan program yang disediakan sama ada di peringkat pusat atau negeri.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata golongan pekerja juga disaran menyertai kesatuan yang didaftarkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) bagi memastikan suara mereka didengari dan hak-hak mereka dilindungi selaras dengan Akta Kesatuan Sekerja 1959.
“Untuk menyertainya, terpulang kepada kehendak masing-masing tetapi kesatuan pekerja inilah yang akan melindungi hak-hak pekerja yang mungkin pekerja itu sendiri tidak nampak. Apabila menjadi ahli, mereka ini (pekerja) boleh mendapat perlindungan dan pandangan kedua sebelum apa-apa tindakan diambil.
“Bagi kesatuan pekerja pula, saya harap mereka dapat menjadi kesatuan yang mampu memainkan peranan dengan sebaiknya dalam membela nasib pekerja yang menjadi ahli kesatuan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) JHEKS bersama Komuniti Negeri Melaka di Villa d’Acqua Kampung Pulau di sini hari ini.
Turut hadir wakil Menteri Sumber Manusia Dr Kelvin Yii Lee Wuen; EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja JHEKS, Mohd Asri Abdul Wahab.
Ab Rauf berkata setakat ini terdapat hampir 28 kesatuan sekerja induk dan 41 kesatuan sekerja cawangan yang berdaftar di bawah JHEKS membabitkan lebih 60,000 ahli.
Terdahulu, pada program itu sebanyak 21 kesatuan sekerja di Melaka mendapat kelulusan permohonan dan akan menerima bantuan geran berjumlah RM359,998 di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS). – BERNAMA