UMNO Perlu Kembali Dominan Demi Perjuangan Agama, Bangsa Dan Negara

PUTRAJAYA, 14 Jun – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak para perwakilan parti agar kembali menghayati penubuhan UMNO dan memahami aspirasi perjuangan demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya menegaskan bahawa UMNO diaspirasikan demi masa depan dengan cogankata ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ untuk rakyat dan ia masih kekal hingga kini.

“Kesan kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) 2018 amat besar malah bukan mudah. Sehingga sekarang persoalan bagaimana kita boleh kalah masih berlegar namun kita perlu bangkit kembali.

“Lihat apa jadi pada negara selepas jatuhnya parti kita dan apa akan jadi pada agama kita sekiranya kita tidak kembali kuat?

“Apa yang penting kita perlu ada keikhlasan. Ingat kenapa parti kita ditubuhkan dan jangan lupa dengan nilai perjuangan kita selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena persidangan Mesyuarat UMNO Bahagian UMNO Putrajaya yang berlangsung di sini, hari ini.

Tegas Tengku Adnan, UMNO mesti kembali dominan bagi memastikan perjuangan agama, bangsa dan negara benar-benar dapat diaplikasi.

Menurut beliau, setiap ahli perlu menzahirkan kesetiaan dan ketaatan kepada Presiden parti sebagai ulul amri, selaras dengan prinsip kepimpinan yang menjadi tonggak UMNO sejak penubuhannya.

“Kalau ada rasa tidak puas hati, gunakan saluran yang betul. Parti kita ada sistem dan undang-undang. Kita bukan parti yang bergerak atas emosi tetapi atas disiplin dan perjuangan,” katanya.

Beliau turut menggesa agar satu penyelidikan atau kaji selidik dalaman dilaksanakan untuk mengukur tahap sokongan sebenar ahli terhadap kepimpinan dan hala tuju parti.

“Kita kena tahu, benarkah mereka benar-benar sayang kepada parti? Kita tidak boleh selesa dengan keadaan sekarang. UMNO mesti capai lebih daripada apa yang ada hari ini,” tegasnya lagi.

Tambah beliau, UMNO bukan sekadar sebuah organisasi politik, tetapi gerakan yang membawa satu matlamat besar demi memastikan kestabilan dan kesejahteraan dalam kerangka agama, bangsa dan tanah air.

“Politik sekarang adalah bukan waktu yang orang akan ingat apabila kita berkhidmat kerana bakti UMNO disedia hinggakan kita hantar sampai jenazah ke liang lahat.

“Kita jagalah kawasan kita dan kenal pasti ahli-ahli parti iaitu mereka yang benar-benar ikhlas untuk meneruskan perjuangan UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79