Peranan JPKK Penting Dalam Usaha Kerajaan Bantu Basmi Miskin Tegar

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Faizal Ramli menekankan kepentingan peranan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam membantu menjayakan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Basmi Miskin Tegar (BMT).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi telah mengadakan perbincangan dengan setiap pengerusi JPKK agar peranan terus dimainkan serta mengenalpasti golongan miskin tegar untuk dibantu meningkatkan pendapatan mereka.

“Setiap pengerusi JPKK perlu turun padang, kenal pasti mereka yang memerlukan, dan bantu salurkan mereka ke program yang sesuai. Kita tidak boleh tunggu tetapi perlu bertindak,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Usai sesi tersebut, beliau turut merasmikan penutup Kursus Kemahiran Jangka Pendek anjuran KEMAS Port Dickson di Balairaya Rumah Rakyat Permatang Pasir.

Ujarnya, kursus itu memberi fokus kepada kemahiran membuat gubahan bunga dan hamper, khusus untuk golongan wanita, terutamanya belia wanita yang ingin menjana pendapatan tambahan.

Beliau turut menyarankan agar para peserta memanfaatkan platform media sosial sebagai alat pemasaran yang efektif untuk memperluaskan pasaran dan meningkatkan hasil jualan.

“Gunakan trend masa kini. Media sosial adalah kedai kita. Promosi di Facebook, Instagram atau TikTok boleh bantu melonjakkan jualan,” tambahnya.

Mohd Faizal yang juga Ketua UMNO Bahagian Port Dickson juga turut meluangkan masa meraikan kejayaan kontinjen SUKNES DUN Bagan Pinang, yang menjuarai acara futsal dan muncul naib juara dalam acara sepaktakraw.

“Saya amat bangga dengan pencapaian anak muda kita. Tahniah kepada semua pemain dan pengurusan. Ini bukti bahawa semangat kesukanan dan usaha gigih membuahkan hasil,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79