UMNO Terus Bekerja Kukuhkan Sokongan, Fokus Perkasa Perjuangan – Mohd Rafi
KUALA LUMPUR, 13 Jun – “Perjuangan belum selesai. Kita mesti terus bekerja keras untuk mengukuhkan sokongan rakyat, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16),” tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata demikian di hadapan para perwakilan ketika berucap merasmikan Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah, di sini semalam.
Beliau menyeru seluruh jentera parti agar kekal fokus dan bersemangat dalam memperkasakan kembali sokongan terhadap UMNO, terutama dalam kalangan orang Melayu dan pengundi muda.
“Kita sudah lihat tanda-tanda kebangkitan UMNO. Kemenangan dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning menjadi bukti bahawa semangat perjuangan semakin pulih,” katanya.
Mohd Rafi turut mengingatkan bahawa hubungan antara UMNO dan orang Melayu tidak boleh dipisahkan kerana ia adalah asas perjuangan parti sejak penubuhannya.
“UMNO dan orang Melayu tidak boleh dipisahkan. Ini adalah asas perjuangan parti sejak penubuhannya, dan prinsip ini mesti terus dipertahankan. Jangan ada pihak yang mempersoalkan bila UMNO bersuara untuk agama dan bangsanya.”
Justeru, katanya, sebarang suara yang menentang perjuangan untuk agama dan bangsa tidak seharusnya diberi ruang.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan ahli UMNO di seluruh negara yang kekal setia dan istiqamah, selain menzahirkan rasa istimewa kerana berpeluang bersama warga UMNO Kuala Kedah.
“Terima kasih dan penghargaan kepada seluruh kepimpinan serta ahli UMNO di seluruh negara yang terus setia dan istiqamah dalam perjuangan.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh kepimpinan UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Kuala Kedah. Insya-Allah, kita akan terus bersua lagi pada masa akan datang dalam semangat perjuangan yang tidak pernah luntur.
“Hidup UMNO, demi agama, bangsa dan tanah air!” tegasnya lagi. – UMNO Online