Puteri UMNO Bersedia Menyumbang, Turut Memimpin Dalam Parti

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Pergerakan Puteri UMNO pada hari ini telah bersedia untuk menyumbang dan menjadi sebahagian daripada barisan hadapan pejuang dalam fasa pemulihan serta pengukuhan parti pada ketika ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Selangor, Siti Nurul Diayana Mat Sehat berkata, komitmen semua pihak dalam membantu pemerkasaan sayap tersebut amat dihargai.

“Majlis perasmian ini menandakan bahawa UMNO sedang melalui fasa baharu yang lebih besar. Mesyuarat perwakilan peringkat bahagian akan disempurnakan di bahagian masing-masing, sekaligus membuka ruang dan peluang untuk para perwakilan bersuara dalam konteks keperluan UMNO semasa.

“Untuk pihak Pergerakan Puteri UMNO Negeri Selangor, saya merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada Datuk Megat Zulkarnain dan seluruh kepimpinan Badan Perhubungan di atas komitmen, kepercayaan dan keprihatinan terhadap pembangunan sayap-sayap UMNO khususnya kepada sayap Pergerakan Puteri UMNO. Komitmen ini amat kami hargai dalam usaha Pergerakan Puteri UMNO mendepani cabaran kontemporari wanita muda glokal yang penuh warna-warni.

“Puteri UMNO Selangor tidak melihat diri kami sekadar sebagai sayap bongsu dalam organisasi. Sebaliknya, kami mengangkat peranan ini sebagai amanah besar dalam menyediakan pelapis kepimpinan wanita masa depan yang bukan sahaja berkebolehan, tetapi juga matang, bijak berstrategi dan jelas pendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat UMNO Negeri Selangor pada Selasa.

Siti Nurul Diayana yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tanjong Karang berkata, pelbagai usaha telah dilakukan sebagai inisiatif penambahan keahlian dan pengkaderan.

“Sejak awal penggal ini, pelbagai inisiatif penambahan keahlian dan program pengkaderan telah digiatkan. Bukan sekadar untuk memenuhi angka, tetapi bagi membina kapasiti, ketahanan dan jati diri ahli Puteri. Hasrat Pergerakan Puteri adalah untuk memastikan golongan wanita muda hari ini tidak terpinggir dalam menjadi suara kepada masyarakat dan negara.

“Dalam menghadapi perubahan lanskap politik yang semakin kompleks, pendekatan kita juga perlu bersifat anjal ‘flexible or agile’ dan responsif. Realitinya, anak muda hari ini tidak boleh didekati dengan formula lama.

“Mereka mahukan suara yang memahami aspirasi suara yang berkonsepkan masa depan, peluang pekerjaan, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan hidup. Ini usaha yang kita sedang tampilkan bagi memenuhi keperluan tersebut sekaligus memastikan suara ini dapat difahami oleh UMNO secara keseluruhan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO di Selangor untuk menjadikan mesyuarat bahagian sebagai detik pemerkasaan sayap tersebut kepada parti.

“Saya menyeru seluruh kepimpinan Puteri UMNO Bahagian di Selangor, jadikan mesyuarat kali ini sebagai detik pemerkasaan. Bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi peluang berharga untuk memperkuatkan semangat juang yang sentiasa membara dalam diri kita, dan memperteguh komitmen kita untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi serta ketegasan.

“Ini adalah masa untuk kita memperkuatkan barisan, mengukuhkan semangat perjuangan dan menetapkan hala tuju yang jelas serta teguh. Tiada ruang untuk kelemahan atau kelalaian kerana masa depan Puteri bergantung kepada ketegasan dan keberanian kita hari ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79