TVET Tahfiz Pacu Generasi Huffaz Berkemahiran – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa penggabungan ilmu hafazan al-Quran dengan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) mampu melahirkan generasi huffaz yang lebih versatil serta bersedia menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran dalam laman Facebooknya berikutan Forum Perdana Ehwal Islam bertemakan ‘Membangun Generasi Huffaz Berkemahiran’ yang berlangsung malam tadi bersempena sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
“Gabungan ini bukan sahaja memperkasa potensi individu huffaz, bahkan membuka ruang lebih luas kepada mereka untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan negara,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyatakan persetujuannya terhadap pandangan para panel forum yang menekankan bahawa TVET wajar dianggap sebagai fardu kifayah, iaitu satu keperluan masyarakat yang perlu dipenuhi demi kelangsungan ummah.
“Saya senada dengan pandangan para panel yang menekankan keperluan menjadikan TVET sebagai fardu kifayah kerana ianya merupakan satu tuntutan masyarakat dalam membangunkan ummah pada masa kini. Malah, saya juga bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan bahawa “agama tidak pernah memisahkan antara kilang/bengkel dan masjid”.
Menariknya, ujar beliau, forum tersebut turut menyaksikan kehadiran ramai anak muda.
“Apa yang lebih membanggakan, saya melihat majoriti yang hadir malam tadi adalah daripada golongan anak muda. Ini membuktikan bahawa minat terhadap pendekatan pendidikan yang seimbang semakin subur dalam kalangan generasi baharu.
“Insya-Allah, kita akan terus memperkasa inisiatif ini agar dapat melahirkan lebih ramai huffaz berkemahiran yang bukan sahaja celik wahyu, tetapi juga cekap mengurus realiti,” tambahnya. – UMNO Online