Layakkah Pemimpin Pecahkan Bangsa Melayu Tubuh ‘Payung’ Baharu? – Dr Azhar

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menyifatkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu berpunca daripada sikap pemimpin yang menubuhkan payung baharu atau organisasi demi kepentingan mereka.

Katanya, di tambah pula mereka menggunakan elemen Melayu/Islam kononnya demi meraih sokongan rakyat.

“Bila tak ada kuasa sebut Melayu/Islam tak habis-habis sebut Melayu/Islam untuk mendapatkan pengaruh.

“Jadi punca perpecahan dalam Malaysia ni, salah satu penyumbangnya ni adalah Tun Dr Mahathir Mohamad… orang yang telah merosakkan tempayan yang pecah, dia sendiri hendak sambung balik tentulah nampak retak-retaknya.

“Dia juga yang membuat onar, pelbagai tuduhan yang tidak munasabah kepada bekas pemimpin negara. Tun Mahathir ni menyumbang kepada perpecahan yang amat dahsyat kepada umat Melayu secara politiknya. Semua pemimpin politik ni kena dengar cakap dia. Kalau tak dengar cakap dia, tiba-tiba akan jadi macam-macam,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Dr Azhar dalam pada itu berpandangan penubuhan gabungan seperti ini lazimnya disertai oleh pemimpin-pemimpin sama yang turut sama menjadi punca perpecahan antaranya dalam kalangan pemimpin Pas.

Beliau seterusnya menyoal langkah tersebut yang kononnya bersifat penyatuan dalam kalangan orang Melayu sedangkan pihak yang merenca agenda tersebut sinonim sebagai pemecah.

“Layak tak orang yang memecahkan umat Melayu, tetapi hari ini bercakap pula untuk menjadi perpaduan? Layakkah?,” ujar beliau.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir dalam satu sidang media pada minggu lalu mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung melalui Sekretariat Orang Melayu dengan dakwaan kononnya untuk mengembalikan kuasa Melayu.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Hamzah Zainuddin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79