Persidangan UMNO Bahagian Dalam Mod Perang Depani PRN Sabah – Sharif Musa
LAHAD DATU, 10 Jun – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menegaskan bahawa UMNO kini memasuki ‘mod perang’ sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan lebih awal daripada tempoh akhir penggal pada Oktober 2025.
Dalam hantaran menerusi laman Facebooknya sempena bermulanya Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian, beliau menyifatkan persidangan kali ini sebagai yang terakhir sebelum rakyat Sabah kembali ke peti undi.
“Ini bermaksud kita sudah masuk mod perang atau ‘war mode’. Sudah pasti ini persidangan mesyuarat perwakilan terakhir sebelum pilihan raya,” katanya.
Menurut beliau, persidangan ini adalah pentas penting untuk membunyikan semboyan perjuangan, memalu gendang perang dan meniup wisel permulaan sebagai arahan kepada jentera parti agar bersiap siaga untuk menggempur dan memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Sabah.
Sharif Musa turut mengingatkan bahawa persidangan ini memberi peluang untuk menilai semula keberkesanan jentera parti dan pendekatan yang telah digunakan sepanjang tempoh lalu.
“Persidangan ini juga pentas yang sesuai untuk kita mengimbas kembali dan melihat sejauh mana pendekatan jentera yang telah kita bawa memberikan impak dan keberhasilan yang diinginkan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa rakyat Sabah masih menaruh harapan kepada UMNO untuk memperjuangkan nasib mereka.
“Rakyat Sabah hari ini memberi sandaran penuh kepada UMNO, bahawa ada pihak yang boleh memperjuangkan pandangan dan isi hati mereka, yang peduli dan memahami suara serta jiwa rakyat,” katanya.
Dengan semangat yang dibakar menjelang PRN, beliau turut menyeru seluruh ahli untuk bersatu, bergerak serentak dan memperkukuh gerak kerja demi memastikan BN kembali menjadi pilihan rakyat Sabah. – UMNO Online