Kerja Berpasukan Lawan Perspektif Negatif Dibawa Pembangkang – Sumali

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan berpandangan Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia sebagai platform terbaik dalam memberi pemahaman kepada pendukung parti dan rakyat membabitkan serangan dibawa pembangkang.

Katanya, bagi mencapai objektif tersebut ia juga perlu dilaksanakan kerja berpasukan bagi mencapai hasil optimum.

“Saya kira ini bukan hanya tanggungjawab ketua penerangan UMNO Malaysia, ketua penerangan negeri, bahagian dan cawangan tetapi tanggungjawab kita sebagai ahli-ahli parti kena menggembleng tenaga dan juga idea untuk melawan perspektif negatif pembangkang.

“Buku panduan ini saya kira bukan satu buku kosmetik atau kata-kata hikmah kerana ia adalah buku untuk kita mencipta naratif supaya kita ada hala tuju yang betul,” katanya.

Mohd Sumali berkata demikian ketika berucap pada perasmian Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia yang dilancarkan hari ini di Ibu Pejabat UMNO Menara Dato Onn.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said.

Mengulas lanjut, beliau berkata hala tuju parti sebagai elemen penting kepada pendukung parti dalam melaksanakan gerak kerja politik.

Katanya lagi ia juga penting sebagai medium melawan perspektif negatif dibawa pembangkang.

“Kita menghadapi pelbagai cabaran, dugaan pada masa gagal untuk melawan naratif daripada pihak pembangkang.

“Semuanya ini adalah berbentuk persepsi, propaganda, tohmahan dan juga fitnah. Sudah pastilah ia berkait rapat dengan naratif yang kita hendak bawa dan bagi menghadapi pihak pembangkang.

“Mesti ada naratif yang betul untuk kita bawa untuk melawan pihak pembangkang,” ujar beliau.

Terdahulu, Penerangan UMNO Malaysia melancarkan Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia sebagai memberi pencerahan kepada ahli parti dan rakyat berkenaan isu-isu semasa berkaitan parti.

Dirasmikan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said, buku ini juga membawa manifestasi tersendiri kepada pengukuhan gerak kerja parti mendepani pilihan raya akan datang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79