Penerangan UMNO Lancar Buku Panduan Naratif, Rangkumi Isu Semasa
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Penerangan UMNO Malaysia berbesar hati melancarkan Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia hari ini sebagai memberi pencerahan kepada ahli parti dan rakyat berkenaan isu-isu semasa berkaitan parti.
Dirasmikan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said, buku ini membawa manifestasi tersendiri kepada pengukuhan gerak kerja parti mendepani pilihan raya akan datang.
Dihadiri oleh kepimpinan penerangan seluruh negara, buku ini yang dilancarkan di Ibu Pejabat UMNO Menara Dato Onn memberi perspektif kepada membentuk keyakinan semula rakyat terharap perjuangan parti keramat ini.
Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob menyifatkan Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia sebagai pendekatan yang harus diambil agar ahli UMNO kekal tampil yakin, bersedia dan konsisten di setiap peringkat.
Katanya ia juga sebagai langkah penting bagi memastikan UMNO terus menjadi parti yang relevan dan diyakini, bukan sahaja dalam konteks semasa tetapi untuk masa depan negara.
“Sebagai jentera utama parti kita mesti menyusun semula naratif kita, agar mesej yang kita sampaikan menjadi medium penyatuan suara dari atas hingga ke akar umbi tepat, jelas dan berkesan.
“Saya berharap semua pemimpin dan jentera UMNO di seluruh bahagian akan menggunakan buku panduan ini sebaiknya sebagai rujukan utama dalam mendekati rakyat dan menyampaikan hala tuju parti dengan penuh tanggungjawab,” katanya pada ucapan perasmian.
Turut hadir Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Untuk rekod, Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia ini disediakan khusus sebagai panduan komunikasi bagi semua pemimpin dan jentera UMNO dalam menghadapi Mesyuarat Bahagian Tahun 2025.
Menjadikan buku ini lebih penting apabila ia sebagai rujukan untuk menjawab persoalan rakyat merangkumi naratif utama parti, isu-isu semasa. – UMNO Online