KPT Gerak Penuh Bantuan Kepada Mangsa Nahas Bas UPSI – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menggerakkan sepenuhnya pelbagai bentuk bantuan susulan nahas kemalangan bas yang meragut 15 nyawa dan mencederakan beberapa lagi warga UPSI.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, memaklumkan bahawa pihak kementerian dan UPSI telah bertindak pantas dengan menubuhkan bilik gerakan serta hotline bagi menyelaras segala bentuk bantuan dan maklumat berkaitan insiden tersebut.

Ujarnya, bagi memudahkan urusan keluarga mangsa, KPT turut menyelaras bantuan penginapan dengan kerjasama Politeknik Ungku Omar dan Kolej Komuniti Gerik.
Selain itu katanya, semua mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di Hospital Gerik, manakala urusan post mortem sedang dijalankan ke atas 15 jenazah iaitu 13 di Hospital Ipoh dan dua di Hospital Gerik.

“Saya sendiri sedang dalam perjalanan ke Hospital Ipoh untuk bertemu dengan keluarga mangsa. Insya-Allah, KPT dan UPSI akan terus komited memastikan segala keperluan dan bantuan diberikan dengan segera,” kata beliau dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Dr Zambry turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan agar segala urusan dipermudahkan serta keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79