Nahas Bas Pelajar UPSI: Wan Rosdy Rakam Ucapan Takziah

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa tragedi nahas bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berkata tragedi tersebut amat menyentuh perasaan kerana ia melibatkan anak muda yang dalam perjalanan menimba ilmu dan membawa harapan keluarga.

“Dengan penuh rasa dukacita dan simpati, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa tragedi nahas bas yang melibatkan pelajar UPSI di Gerik, Perak, awal pagi tadi.

“Saya dimaklumkan seramai 15 mangsa telah meninggal dunia dalam nahas tersebut.
Tragedi ini benar-benar menyentap perasaan kita semua kerana ia melibatkan anak-anak muda yang dalam perjalanan menimba ilmu, membawa harapan keluarga dan masa depan negara. Kehilangan mereka adalah kehilangan kita bersama.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang dan seluruh rakyat negeri ini, saya melahirkan rasa simpati yang amat mendalam kepada keluarga mangsa,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berharap agar semua pihak yang terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.

“Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.

“Kepada mangsa yang sedang dirawat, saya doakan agar dikurniakan kesembuhan yang segera dan sempurna.

“Marilah kita mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat, diampunkan dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” katanya.

Pada Isnin media melaporkan Seramai 15 individu dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di sini pagi tadi.

Difahamkan bas UPSI itu dalam perjalanan ke kampus Universiti itu dari Jerteh, Terengganu.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam kenyataannya berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Banun menerima panggilan berhubung kejadian yang melibatkan 48 orang mangsa itu pada pukul 1.10 pagi.

Katanya, anggota APM yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.11 pagi mendapati kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dengan sebuah bas yang telah terbalik. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79