“Payung Besar Melayu” Jarum Halus Untuk Bunuh UMNO – Puad
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa penubuhan inisiatif “Payung Besar Melayu” yang ditaja oleh Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan satu strategi halus untuk melemahkan dan akhirnya mematikan UMNO.
Menurut beliau, langkah Tun Mahathir menjemput ahli UMNO tanpa melibatkan parti itu sendiri menunjukkan niat tersembunyi bekas perdana menteri itu untuk memecahbelahkan kekuatan parti.
“Tun M sekali lagi mahu menipu orang UMNO. Dia menaja pula ‘Payung Besar Melayu’. Dia hanya jemput ahli UMNO tetapi tolak parti UMNO. Dia tahu UMNO tidak akan masuk lubang biawak kali kedua,” katanya dalam satu kenyataan.
Puad turut menyifatkan pendekatan itu sebagai “jarum halus” yang bertujuan menghasut ahli agar menyokong platform baharu tanpa perlu keluar parti, tetapi dalam masa sama tidak lagi memberikan undi kepada UMNO.
Tambahnya, usaha seperti ini telah pun dilihat gagal sebelum ini, termasuk menerusi Kongres Maruah Melayu dan Piagam Muafakat Nasional pada tahun 2019, yang menurut beliau tidak mampu bertahan kerana asasnya bersifat politik dan penuh dengan kepentingan peribadi.
“Payung itu dokongan parti politik. Bila asasnya politik akan ada tikam belakang sesama sendiri. Sebab itu berlaku ‘Sheraton Move’. Maka Payung Besar Melayu sama saja. Nafsu orang tua. Bernafsu tapi tidak mampu,” katanya lagi. – UMNO Online