Bung Moktar Gesa Pelaksanaan IPR Yang Lebih Inklusif di Pedalaman Sabah
KINABATANGAN, 8 Jun – Ketua UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di kawasan pedalaman Sabah yang disifatkan masih belum menyeluruh dan tidak menyentuh golongan yang paling memerlukan.
Menurut Bung Moktar, walaupun IPR merupakan salah satu dasar utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), pelaksanaannya masih tidak menepati realiti serta keperluan ekonomi penduduk luar bandar di negeri itu.
“Sabah merekodkan kadar kemiskinan tegar sebanyak 1.2 peratus, enam kali ganda lebih tinggi daripada purata nasional iaitu 0.2 peratus. Ini bukan sekadar angka, tetapi bukti nyata wujudnya jurang pembangunan yang ketara,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Beliau menegaskan bahawa ramai rakyat Sabah, khususnya ibu tunggal, warga emas dan belia luar bandar masih hidup dalam kekurangan bukan kerana tidak berusaha, tetapi disebabkan kekurangan akses kepada peluang dan sokongan ekonomi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Kementerian Ekonomi menyusun semula pendekatan pelaksanaan IPR supaya lebih menyeluruh dan berteraskan pendekatan “turun padang” atau outreach program yang melibatkan interaksi terus dengan masyarakat setempat di balai raya, sekolah, rumah ibadat dan pusat komuniti.
“Kerajaan perlu hadir kepada rakyat, bukan sebaliknya,” katanya sambil menekankan keperluan kolaborasi bersama ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), serta badan bukan kerajaan (NGO).
Tambah Bung Moktar, pelaksanaan dasar pusat seperti IPR perlu mengambil kira faktor geografi, budaya dan realiti ekonomi tempatan, supaya ia benar-benar memberi impak dan tidak sekadar memenuhi syarat dasar.
“Sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat Sabah bukan sekadar negeri termiskin, tetapi sebagai rakan pembangunan strategik yang mampu menyumbang secara signifikan kepada masa depan negara,” katanya.
Beliau yakin, dengan pendekatan yang inklusif dan adil, Sabah mampu keluar daripada kitaran kemiskinan dan mara ke arah pembangunan yang lebih sejahtera dan mampan. – UMNO Online