Majlis Penyerahan Watikah Ketua Kampung Kulai Kukuhkan Perpaduan Dan Pembangunan Komuniti

KULAI, 6 Jun – Seramai 28 pemimpin akar umbi terdiri daripada 20 Ketua Kampung dan lapan Ketua Masyarakat bagi Daerah Kulai secara rasmi telah menerima watikah pelantikan bagi sesi 2025/2027 dalam satu majlis penuh tertib dan bermakna yang berlangsung di Dewan Pejabat Daerah Kulai, semalam.

Majlis Ikrar dan Penyerahan Watikah Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat itu telah disempurnakan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Menurut beliau, Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat memainkan peranan yang amat penting sebagai jentera akar umbi Kerajaan Negeri dan mereka bukan sahaja menjadi saluran utama menyampaikan suara rakyat, malah turut bertanggungjawab menyokong dasar pembangunan serta memastikan keharmonian dan kesejahteraan komuniti terpelihara.

“Saya menekankan betapa pentingnya peranan Ketua Kampung dalam membantu Kerajaan Negeri menyampaikan maklumat tepat, memperkukuh perpaduan kaum serta memastikan kebajikan penduduk sentiasa diutamakan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Beliau turut menyeru semua Ketua Kampung untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi daerah serta Pusat Khidmat ADUN agar segala bentuk pembangunan dan inisiatif kebajikan dapat disalurkan dengan lebih cekap dan berkesan.

Mohd Jafni turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua yang telah dilantik serta mengingatkan mereka agar sentiasa menggalas amanah dengan integriti, kejujuran dan penuh tanggungjawab.

“Jangan abaikan keperluan rakyat. Jadilah jambatan penyelesaian kepada masalah penduduk, bukan menambah kesulitan,” tegas beliau.

Majlis berkenaan turut dilihat sebagai simbol komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan lagi barisan kepimpinan akar umbi demi merealisasikan visi Maju Johor yang dipimpin Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ke arah pembangunan yang inklusif dan mampan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79