Pemuda UMNO Tolak Pelawaan Tun M: “Kami Tidak Lupa Apa yang Terjadi”
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, menzahirkan pendirian tegas terhadap pelawaan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk penyatuan Melayu, sambil mengingatkan rakyat tentang sejarah lalu yang tidak boleh dilupakan.
Beliau berkata bahawa pelawaan untuk bersatu demi bangsa dan agama mestilah datang dari hati yang ikhlas, bukan atas dasar kepentingan peribadi mahupun perebutan jawatan.
“Tetapi orang yang sama juga mahu mengharamkan UMNO ketika mereka berada di tampuk kuasa. Kini bila tiada kuasa, lain pula gayanya,” tegasnya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Dr. Akmal turut menyatakan bahawa UMNO menghargai pelawaan Tun Dr. Mahathir, namun beliau mengingatkan bahawa akar umbi UMNO dan rakyat masih belum melupakan tindakan masa lalu yang pernah mengancam kelangsungan parti keramat itu.
“Terima kasih Tun, kami menghargai pelawaan Tun, tetapi kami masih tidak lupa apa yang terjadi,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan untuk menyatukan bangsa perlu berpaksikan keikhlasan dan kesungguhan dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara, bukan didorong oleh kepentingan politik semata-mata.
Dilaporkan pada Rabu, Tun Dr Mahathir dalam satu sidang media telah mengumumkan inisiatif baharu dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu yang dakwanya digerakkan untuk menggabungkan bangsa majoriti itu di bawah satu payung besar. – UMNO Online