“Tun M Cukup-Cukuplah Dengan Retorik Purba” – Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi hari ini menyelar tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kembali muncul di persada politik dengan membawa konsep ‘payung besar’.

Beliau menyifatkan percubaan Tun Mahathir untuk menyatukan parti-parti Melayu sebagai satu retorik lapuk yang sudah berulang kali gagal.

“Perpecahan orang Melayu bukan berlaku sekali, tapi berkali-kali. Antara yang terbesar datang daripada parti Bersatu yang Tun sendiri tubuhkan pada 2016,” katanya.

Beliau turut mengimbas sejarah pemecatan Tun Mahathir daripada parti Bersatu pada tahun 2020, serta kekalahan memalukan calon parti pimpinan Tun dalam PRU15 yang menyaksikan hilang deposit.

“Selepas lima tahun, Tun muncul bersama parti yang pernah memecatnya, kali ini mahu tubuh ‘payung besar’. Tapi rakyat bukan mudah lupa dan mereka bijak menilai,” ujarnya lagi.

Nurul Amal turut mempertikaikan relevansi konsep ‘payung’ yang dikatakan hanya membawa lebih banyak perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

“Apabila ‘payung besar’ ini gagal, adakah akan ditubuhkan pula ‘payung besar 2.0 atau 3.0’? Cukuplah dengan retorik purba,” tegasnya.

Beliau juga menyeru Tun Mahathir agar memilih untuk menikmati kehidupan selepas bersara daripada politik.

“Tun jadi Perdana Menteri ketika saya masih kecil. Nasihat saya, Tun ‘enjoy your life’,” katanya lagi.

Terdahulu pada Rabu, Tun Mahathir muncul dalam satu sidang media dengan pengumuman inisiatif baharu dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu yang dakwanya digerakkan untuk menggabungkan bangsa majoriti itu di bawah satu payung besar.

Hadir sama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79