Sumbangan Korban Semarak Aidiladha Di Jeram Padang

JEMPOL, 6 Jun – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menerusi Pejabat ADUN Jeram Padang telah menyerahkan lembu korban kepada beberapa kariah masjid terpilih di seluruh kawasan DUN tersebut.

Penyerahan lembu-lembu korban tersebut telah diwakilkan kepada Pegawai Khas ADUN Jeram Padang, yang menyerahkannya kepada Ketua UMNO Cawangan di setiap kawasan terlibat untuk disalurkan kepada pihak kariah masing-masing.

Ujar Mohd Zaidy, inisiatif ini bertujuan meringankan beban kariah dalam melaksanakan ibadah korban, di samping menyemarakkan syiar Islam serta memperkukuh semangat perpaduan dan pengorbanan dalam kalangan masyarakat.

“Ibadah korban ini adalah simbol kasih sayang, ukhuwah dan keikhlasan dalam beragama. Semoga sumbangan ini memberi manfaat kepada seluruh kariah dan menjadi asbab keberkatan buat komuniti kita,” katanya.

Menurut beliau lagi, usaha ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat akar umbi serta menyantuni keperluan mereka menjelang hari kebesaran umat Islam.

Mohd Zaidy turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh penduduk DUN Jeram Padang dan berharap ibadah korban tahun ini diterima Allah SWT serta membawa kesejahteraan kepada semua. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79