Penyatuan Melayu: Perkukuh Institusi Sedia Ada, Bukan Lahirkan Serpihan Baharu – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Semua pihak disarankan untuk memperkukuhkan institusi sedia ada dan tidak mengambil pendekatan dengan melahirkan serpihan baharu jika benar-benar ikhlas bagi mewujudkan Perpaduan Melayu.

Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, beliau menyokong sebarang bentuk inisiatif penyatuan namun ia perlu lahir dari keikhlasan, bukannya kekecewaan politik.

“Saya mengikuti dengan teliti pelancaran Sekretariat Orang Melayu oleh Tun Dr Mahathir yang digambarkan sebagai usaha menyatukan umat Melayu. Sebagai ahli politik Melayu, saya menyokong mana-mana inisiatif penyatuan tetapi dengan syarat ia lahir dari keikhlasan, bukan kekecewaan politik atau percubaan menghidupkan semula pengaruh yang telah ditolak rakyat.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa pelbagai parti dan gerakan yang diasaskan atas nama Melayu sebelum ini telah gagal membuktikan keberkesanan, malah lebih banyak memecah belahkan kesatuan umat. Apabila wajah dan suara yang sama muncul kembali dengan label baharu, rakyat berhak untuk mempersoalkan motif dan keikhlasan.

“Realitinya, orang Melayu hari ini tidak terancam dari segi representasi. Kepimpinan utama negara masih didominasi oleh pemimpin Melayu-Islam… yang terancam sebenarnya ialah ekonomi isi rumah, masa depan anak muda, dan kestabilan sosial. Itulah perkara yang perlu diperjuangkan bukan naratif lapuk yang digunakan setiap kali hampir Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, rakyat semakin matang dalam menilai siapakah yang benar-benar konsisten menjaga kepentingan orang Melayu sejak dulu.

“Rakyat semakin matang. Mereka tidak menilai berdasarkan siapa paling kuat melaungkan ‘perjuangan Melayu’, tetapi siapa yang benar-benar turun padang, menyelesaikan masalah dan konsisten sejak dulu. Perpaduan bangsa bukan dibina melalui sekretariat baharu, tetapi melalui dasar dan pentadbiran yang adil, bersih serta realistik.

“Sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, saya menyeru agar semua pihak berhenti memainkan sentimen yang boleh memecah belahkan rakyat. Jika benar-benar ikhlas ingin melihat Melayu kuat, caranya ialah dengan memperkukuh institusi sedia ada bukan terus melahirkan serpihan demi serpihan yang hanya melemahkan kekuatan politik bangsa sendiri,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan satu gerakan yang dinamakan Sekretariat Orang Melayu dibentuk untuk menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, inisiatif tersebut merupakan satu langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran yang dihadapi orang Melayu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79