Pelancaran Visit Malaysia 2026 Di UK, Ahmad Zahid Promosi Pelancongan Di Pentas Global

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah merasmikan pelancaran Visit Malaysia 2026 (VM2026) di United Kingdom dalam satu usaha penting mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Presiden UMNO memaklumkan aca tersebut diadakan selepas mengadakan sesi meja bulat bersama pihak operator, media dan pihak-pihak berkepentingan di United Kingdom, yang sekali gus membuka lembaran baharu dalam mempromosi pelancongan negara di pentas global.

 

“VM2026 merupakan agenda nasional yang mensasarkan untuk menarik seramai 45 juta pelancong antarabangsa dan menjana RM270 bilion dalam hasil pelancongan. Malah, kita melihat United Kingdom sebagai pasaran berimpak tinggi, dan mampu menarik kira-kira 500,000 pelancong UK ke Malaysia menjelang tahun 2026 berbanding 390,000 pelancong pada tahun 2024 yang memberi pulangan lebih RM2.45 bilion kepada negara,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Ahmad Zahid juga memaklumkan beliau mahu agar masyarakat antarabangsa khususnya di United Kingdom melihat Malaysia bukan sekadar sebuah destinasi pelancongan.

“Saya juga mahu masyarakat antarabangsa khususnya di United Kingdom melihat Malaysia bukan sekadar sebuah destinasi pelancongan, tetapi juga sebagai jambatan untuk mereka mengenali budaya Malaysia, keindahan alam semula jadi dan kemudahan hospitaliti kelas dunia yang menjanjikan pengalaman berharga yang tidak dapat dilupakan.

“Saya yakin pendekatan strategik ini akan memperkukuh lagi hubungan dagang dan pelancongan Malaysia–United Kingdom, serta menjana manfaat langsung kepada usahawan, pelabur dan rakyat kedua-dua negara.”

Beliau turut menekankan bahawa pendekatan strategik ini bukan sahaja akan memperkukuh hubungan dagang dan pelancongan antara Malaysia dan United Kingdom, malah memberi impak langsung kepada usahawan, pelabur dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga usaha ini mampu menjadikan Visit Malaysia 2026 sebagai agenda nasional yang menyatukan rakyat, rakan antarabangsa dan industri pelancongan ke arah pertumbuhan negara yang lebih inklusif, di samping membina masa depan pelancongan yang lebih lestari dan bermakna,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79