UMNO-BN Masih Relevan di Sabah Walau Berdepan Pelbagai Cabaran

KINABATANGAN, 4 Jun – Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan desakan agar “dihalau” dari Sabah, UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus kekal relevan dalam landskap politik negeri ini, kata Ketua Penerangan UMNO Kinabatangan, Rahia Arpaih.

Menurut beliau, sejarah panjang UMNO di Sabah telah banyak menyumbang kepada pembangunan, kestabilan dan kemajuan sosioekonomi negeri, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Ujarnya, walaupun wujud cubaan untuk melemahkan kedudukannya, UMNO kekal sebagai parti yang mempunyai jaringan akar umbi yang kukuh di seluruh negeri.

“Biarpun ada suara-suara yang mahu membentuk landskap politik yang bebas daripada pengaruh Semenanjung, hakikatnya isu-isu utama seperti kemiskinan, peluang pekerjaan dan infrastruktur masih memerlukan penyelesaian menyeluruh,” katanya.

Rahia menegaskan bahawa rakyat Sabah secara umum bersikap pragmatik dan menilai parti berdasarkan prestasi serta kemampuan membawa perubahan. Sokongan tidak semata-mata diberikan atas nama parti tempatan atau parti luar.

“UMNO-BN memiliki pengalaman pentadbiran dan pendekatan tersusun yang masih diyakini mampu menjamin kestabilan serta kesinambungan pembangunan,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa UMNO kini tampil dengan wajah baharu yang lebih terbuka, mendengar suara rakyat dan bersedia melakukan transformasi demi kebaikan bersama.

“Dengan semangat federalisme yang adil dan komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), UMNO-BN komited menghormati hak-hak Sabah tanpa mengabaikan semangat kebersamaan dalam Persekutuan Malaysia,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79