Tindakan Tengku Zafrul Cerminan Ketidaksetiaan, Bukan Pejuang UMNO – Ruzaini

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah cerminan sikap mementingkan diri serta ketidaksetiaan kepada perjuangan parti.

Katanya meskipun begitu, pengumuman ini tidak mengejutkan kerana khabar angin mengenai peralihannya telah berlegar sejak beberapa waktu lalu.

“Kononnya keluar kerana tiada lagi keserasian dan kesesuaian, padahal jelas apa yang dicari. Kedudukannya sebelum ini diperoleh atas kuota UMNO, walaupun kalah dalam pilihan raya,” ujar beliau kepada UMNO Online.

Ruzaini turut menyifatkan peranan Tengku Zafrul dalam parti selama ini tidak begitu dirasai, apatah lagi di peringkat akar umbi namun tindakan keluar parti ini memberikan imej negatif terhadap UMNO yang sedang giat memperkukuh kedudukannya.

“Beliau bukan pemimpin yang bergelumang memperjuangkan parti, malah kawasan luar daerah elit pun tidak dipedulikan.

“Kedudukannya dalam politik bermula dari kosong terus diangkat menjadi Menteri Kewangan. Kalah dalam pilihan raya pun, dilantik sebagai senator dan dilantik pula sebagai Menteri MITI. Betul, dia tidak dilantik oleh PM UMNO tetapi dia mendapat kedudukan atas kuota UMNO.

“Kenyataannya yang dia menjadi ahli UMNO sejak 1997 tidak membawa sebarang erti jika tidak disertai dengan salah satu cogan kata UMNO iaitu ‘bersetia’. Kononnya dia keluar kerana tiada lagi “keserasian dan kesesuaian” amat jelas menunjukkan apa yang dicarinya,” katanya.

Desas-desus kini tersebar bahawa Tengku Zafrul mungkin menyertai PKR dan akan diberikan kedudukan strategik termasuk kemungkinan dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor atau dilantik semula sebagai menteri dalam kabinet kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) malah dipercayai akan melibatkan pengosongan satu kerusi DUN atau Parlimen bagi memberi laluan kepadanya.

Sehubungan itu, Ruzaini meminta agar ada kenyataan rasmi menolak sebarang bentuk sokongan terhadap Tengku Zafrul sekiranya beliau bertanding semula dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK) atas tiket parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

“Pengajaran perlu diberikan. Bukan hanya kepada beliau, tetapi kepada mana-mana pemimpin dalam UMNO atau kerajaan hari ini yang berfikir untuk bertindak sedemikian,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79