Tolak Politik Berkepentingan, Rakyat Muak ‘Drama’ Tak Berkesudahan – Dayang Nurazlin

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dayang Nurazlin Nordin menyifatkan rakyat semakin muak dengan drama politik yang tidak berkesudahan.

Menurut beliau bahkan rakyat pada masa kini semakin bijak menilai pemimpin yang ikhlas bekerja, membawa solusi bagi mencipta masa depan yang lebih baik.

“Saya menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk gerakan yang mahu meruntuhkan struktur ini demi kepentingan sempit individu atau kelompok tertentu.

“Teguh menyokong Kerajaan Perpaduan yang dibentuk atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, berteraskan semangat muafakat dan demi menjamin kestabilan negara,” katanya menerusi ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau dalam pada itu memaklumkan bahawa fokus utama kepimpinan hari ini banyak menumpukan kepada usaha memelihara kestabilan kerajaan dan memperkukuhkan penyampaian dasar kepada rakyat.

“Masa untuk bekerja adalah masa untuk menunaikan tanggungjawab dan memperjuangkan nasib rakyat bukan medan untuk mengatur percaturan politik peribadi yang boleh menggugat kestabilan negara,” ujar beliau.

Sementara itu, Dayang turut sama menyentuh berkenaan pasca mesyuarat UMNO cawangan yang melabuhkan tirainya pada bulan lalu disusuli dengan mesyuarat bahagian yang bakal berlangsung pada 9 Jun ini.

Menyifatkan ia sebagai fasa penting, beliau berkata mesyuarat tersebut sebagai medan terbaik memperkukuh parti keramat ini.

“Kita kini berada dalam fasa penting bagi UMNO sendiri, selepas selesai Mesyuarat Cawangan dan menjelang pula Mesyuarat Bahagian. Ini adalah ruang terbaik untuk kita menilai, memperbaiki dan memperkukuh kekuatan dalaman parti.

“Pergerakan Puteri UMNO komited untuk menjadi tulang belakang yang membina semula keyakinan rakyat terhadap parti, menerusi pendekatan lebih inklusif, progresif dan mendengar denyut nadi masyarakat,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu menyeru pendukung parti untuk tidak terlalu selesa dengan budaya lama yang meminggirkan suara akar umbi dan anak muda.

“Perpaduan dalaman UMNO perlu dikuatkan, bukan hanya untuk menghadapi pilihan raya, tetapi untuk terus relevan sebagai parti yang benar-benar memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara.

“Sudah tiba masanya kita bergerak sebagai satu pasukan, fokus kepada kerja, tolak politik sempit dan perkukuh parti dari akar hingga ke pucuk,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79