BN 51 Tahun: Mohd Rafi Seru Penyatuan Dan Kebangkitan Semula

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-51 kepada Barisan Nasional (BN), sambil menyeru kebangkitan semula gabungan politik itu dalam landskap politik tanah air.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan menegaskan bahawa BN, sejak zaman Parti Perikatan, telah menjadi simbol kestabilan dan kemajuan negara selama lebih enam dekad.

Katanya, BN merupakan sebuah gabungan politik yang gah, berwibawa dan digeruni lawan setiap kali musim Pilihan Raya.

“Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15 menjadi pengajaran yang amat besar buat kita semua. Ia adalah azimat berharga yang harus dijadikan pedoman oleh setiap pemimpin untuk melakukan muhasabah, berubah dan membawa perubahan,” katanya.

Mohd Rafi turut menyeru agar penyatuan kukuh antara parti-parti komponen utama seperti UMNO, MCA, MIC dan PBRS, serta rakan-rakan dalam Friends of BN, diterjemah melalui gerak kerja tersusun, naratif yang diyakini rakyat, dan iltizam yang kukuh.

“Penyatuan ini bukan sekadar simbolik, tetapi mesti diterjemah dengan gerak kerja yang tersusun… untuk mengembalikan dominasi BN di persada politik tanah air,” tambahnya.

Beliau juga berharap agar BN terus maju, terus bersatu dan kembali menjadi pilihan utama rakyat Malaysia. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79