Tengku Zafrul Keluar Parti Tak Jejas Kepimpinan, Tapi Cetus Rasa Dikhianati – Hasnal
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Ketua UMNO Bahagian Selayang Datuk Hasnal Rezua Merican menyifatkan tindakan keluar parti oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak memberi kesan kepada kepimpinan UMNO.
Namun katanya ia sedikit sebanyak memberikan impak kepada para penyokong yang pernah memberikan dukungan kepadanya sebelum ini.
“Episod ini mungkin tidak memberi kesan kepada barisan kepimpinan di dalam UMNO, namun ianya meninggalkan rasa pengkhianatan di lubuk jiwa ahli-ahli UMNO yang pernah menyokong Tengku Zafrul,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Mengulas lanjut kata beliau, langkah Tengku Zafrul yang mengumumkan peletakan jawatan dan hasratnya untuk menyertai PKR juga dilihat mengguris perasaan ahli UMNO.
Menurut Hasnal, sewajarnya Tengku Zafrul untuk meletakkan suatu tempoh sebelum menyatakan hasrat bersama parti baharu.
“Cuma Tengku Zafrul perlu lebih diplomatik dengan warga UMNO yang pernah menumpahkan kepercayaan dan kesetiaan kepada beliau.
“Beliau tidak wajar mencalar perasaan warga UMNO dengan mengumumkan perletakkan jawatan dan hasrat berhijrah ke parti lain secara serentak. Sepatutnya Tengku Zafrul mengizinkan suatu ‘buffer period’ di antara keduanya sebagai tanda hormat kepada ahli-ahli UMNO.
“Ibarat seorang isteri yang mengumumkan hasrat berkahwin lain sebelum tamat tempoh ‘iddah, atau pemain bola sepak yang mengumumkan hasratnya berpindah ke pasukan lawan sebelum tamat persaingan liga musim semasa.
“Pastinya ada rasa pahit di dalam tekak ahli-ahli UMNO mengenangkan semenjak bila Tengku Zafrul sudah tidak menyayangi atau memperdulikan mereka kerana beliau sudah melakar haluan berbeza semasa masih mendampingi mereka,” ujar beliau.
Untuk rekod Jumaat lepas, Tengku Zafrul menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai PKR. – UMNO Online