Tindakan Tengku Zafrul Untuk Kepentingan Diri Semata-mata – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan UMNO adalah semata-mata untuk survival dan kepentingan diri sendiri semata-mata, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain.

Mohd Zaidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, apa yang mengejutkan beliau berkaitan kenyataan rasmi yang dikeluarkan Tengku Zafrul apabila tidak lagi menyalahkan UMNO Selangor yang kononnya tidak mempunyai hala tuju jelas sepertimana yang dituduh sebelum ini.

“Saya tidak terkejut Tengku Zafrul keluar UMNO. Namun agak mengejutkan apabila kenyataan rasmi dibuat beliau ketika keluar dari parti tidak lagi menyalahkan UMNO Selangor yang kononnya tiada hala tuju jelas seperti dituduh sebelum ini.

”Ini menunjukkan bahawa fakta-fakta yang dikemukakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin menyangkal dakwaan Tengku Zafrul tersebut telah mematikan naratif yang cuba dimainkan untuk memburukkan UMNO Selangor.

“Kini jelas kelihatan tindakan beliau keluar daripada UMNO adalah semata-mata untuk survival dan kepentingan diri sendiri, tidak ubah seperti ungkapan pepatah Melayu ‘ikan dimakan, haram diingati’. Ia menggambarkan seseorang yang tidak ikhlas dan setia… melupakan jasa parti yang telah meletakkan beliau di kedudukan ketika ini,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, tindakan Tengku Zafrul tersebut dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan yang nyata dan ia perlu dilihat kepada peruntukan khusus Perlembagaan UMNO mengenai tanggungjawab sekiranya seseorang ahli dipilih atau dilantik sebagai ahli Parlimen.

“Dalam hal ini kita sama sekali tidak boleh melihat tindakan beliau betul dengan mengatakan itu adalah hak sebagai warganegara menurut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, kita kena lihat kepada peruntukan khusus dalam perlembagaan parti mengenai apakah tangggungjawab seseorang ahli UMNO terutama apabila beliau dipilih atau dilantik sebagai ahli Parlimen dan memegang jawatan dalam kabinet.

“Tindakan beliau ini adalah satu bentuk pengkhianatan yang nyata. Saya amat bersetuju dengan apa yang ditegaskan oleh Presiden semasa menjawab soalan wartawan… apakah tindakan Tengku Zafrul boleh dikira sebagai melompat parti? Dengan tegas presiden menjawab… kalau tak lompat nak kata apa lagi?

“Beliau membawa amanah UMNO dengan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Kita berbangga kerana dapat memegang tujuh menteri walaupun hanya ada 30 kerusi. Tapi kini tinggal enam. Jika Perdana Menteri (PMX) bertegas mengatakan tindakan beliau tidak menjejaskan kedudukannya sebagai menteri MITI… persoalan yang timbul ialah langkah apakah yang sedang dilakukan oleh PMX sehingga mencabar maruah rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan?” soalnya.

Ujarnya, beliau menyokong pendirian UMNO Negeri Selangor dan Pusat yang menegaskan bahawa adalah tidak wajar mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian dari rakan gabungan sewenang-wenangnya.

“Saya menyokong pendirian UMNO Selangor dan UMNO Pusat yang menekankan bahawa adalah tidak wajar mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian parti lain secara sewenang-wenangnya. Ini adalah demi mengelakkan prasangka dan memprejudiskan semangat kesetiakawanan serta kerjasama yang telah mula terjalin dengan baik kini.

“Kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang menyokong secara nyata penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR amat tidak wajar dan boleh mencetuskan kemarahan ahli-ahli UMNO bukan sahaja di Selangor tapi di seluruh negara.

“Ini bukan soal UMNO takut kehilangan Tengku Zafrul tetapi menerima keputusan beliau bererti PKR telah menyalahi prinsip setiakawan dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79