Teruskan Kebangkitan UMNO, Sasar Pemulihan Dan Pendekatan Politik Baharu – Ahmad Tarmizi
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pasca pelaksanaan mesyuarat cawangan dan pra-mesyuarat bahagian UMNO di seluruh negara, jelas kelihatan satu gelombang kebangkitan dalam kalangan ahli akar umbi, kata Exco Pemuda UMNO Damansara, Ahmad Tarmizi Che Age.
Ujarnya, dengan semangat dan kesedaran baharu, UMNO kini dalam landasan untuk memperkukuh dan memperkasakan parti, seiring dengan cabaran politik semasa serta keperluan untuk meraih semula kepercayaan rakyat.
“Proses ini dilihat bukan sahaja sebagai pengurusan rutin organisasi, tetapi sebagai langkah strategik dalam misi pemulihan dan penyusunan semula kekuatan parti demi masa depan yang lebih gemilang.
“UMNO juga kini dalam fasa menampilkan pendekatan politik yang lebih segar dan inklusif. Akar umbi menyuarakan hasrat agar parti ini tidak lagi dilihat sebagai entiti elit, tetapi sebaliknya sebagai parti rakyat yang benar-benar memahami denyut nadi masyarakat.
“Penekanan kepada peranan media sosial, keterlibatan anak muda, dan penyertaan lebih ramai profesional turut diketengahkan sebagai usaha untuk menyemarakkan semula keyakinan rakyat, khususnya pengundi muda yang kini menjadi kumpulan penentu dalam mana-mana pilihan raya,” katanya kepada UMNO Online.
Ahmad Tarmizi yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Ulama UMNO mengingatkan agar ahli parti jangan menyimpang jauh dari perjuangan asal iaitu agama, bangsa dan tanah air.
“Akar umbi UMNO juga diingatkan agar tidak menyimpang daripada asas perjuangannya, membela agama Islam, bangsa Melayu dan hak-hak istimewa Bumiputera. Namun, pada masa sama, kita sebagai ahli parti juga harus kekal sebagai wadah politik sederhana yang inklusif, yang menghormati kepelbagaian kaum dan agama dalam negara. Ini penting untuk memastikan UMNO kekal relevan dalam konteks Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya.
“Selepas kehilangan kepercayaan pada PRU yang lepas kini pada pasca mesyuarat cawangan dan pra-mesyuarat bahagian UMNO ini memperlihatkan iltizam akar umbi untuk memperkukuh dan memperkasakan parti demi kelangsungan perjuangan.
“Dengan pengukuhan jentera, penyusunan strategi politik baharu, perpaduan dalaman, penegasan terhadap perjuangan asas dan persediaan menghadapi pilihan raya, UMNO kini bersedia untuk bangkit semula sebagai sebuah parti yang diyakini dan disegani. Perjalanan ini bukan mudah, tetapi dengan semangat yang kental dan kesetiaan yang jitu, UMNO mampu kembali menjadi tunjang kekuatan politik tanah air,” katanya lagi.
Pada masa yang sama Ahmad Tarmizi turut mengulas berkaitan penganjuran Sekolah Patriotik UMNO yang berlangsung baru-baru ini.
Katanya, program ini bukan sekadar pendidikan politik biasa, tetapi satu bentuk pembinaan jati diri, semangat nasionalisme dan kefahaman terhadap ideologi perjuangan UMNO dalam kalangan anak muda.
“Ia membuka ruang kepada generasi muda untuk memahami sejarah perjuangan, dasar parti serta kepentingan mereka sebagai pelapis kepimpinan negara.
“Golongan muda hari ini adalah generasi celik maklumat dan kritikal, kini UMNO telah menyediakan ruang dan platform untuk mereka menyumbang secara aktif.
“Lebih penting, golongan muda ini bukan hanya menjadi penyokong parti, malah berpotensi menjadi ejen penyebar pengaruh dan penarik kepada rakan-rakan sebaya mereka. Dengan pendekatan yang inklusif, kreatif dan relevan, UMNO dapat memanfaatkan tenaga muda untuk mendekati masyarakat, menguasai ruang digital, serta membawa imej parti ke arah yang lebih segar dan progresif,” jelasnya.
Ujarnya lagi, Sekolah Patriotik ini merupakan batu asas penting dalam membina generasi pelapis yang mampu meneruskan perjuangan dan memastikan kelangsungan parti dalam jangka masa panjang. – UMNO Online