Adnan Santuni Masyarakat Orang Asli, Sampaikan Bantuan
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan meneruskan politik khidmat bakti kepada penduduk di kawasan dengan menyantuni rakyat melalui pertemuan secara santai serta program-program yang dihadiri.
Terbaharu beliau menziarahi masyarakat Orang Asli di Chergun dan Guntur untuk menyampaikan bantuan yang berlangsung di Balai Raya Kampung Orang Asli Chergun, selepas kawasan didiami mereka dinaiki air sehingga menyebabkan tanah runtuh.
“Saya menyantuni 32 keluarga Orang Asli di Chergun dan Guntur yang terjejas akibat air naik dan tanah runtuh tempoh hari yang telah merosakkan pelbagai perabot rumah.
“Semoga sedikit sebanyak bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung penerima. Terima kasih juga kepada JAKOA atas tindakan segera menangani permasalahan Orang Asli,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu menerusi hantaran terdahulu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah itu turut sama menyantuni waris yang kehilangan ahli keluarga.
Beliau juga berharap keluarga waris untuk bersabar dengan ujian yang menimpa dan mendoakan agar allahyarham ditempatkan bersama hamba yang beriman.
“Innalillah ziarah waris dan keluarga dua orang di Kampung Maasop yang meninggal semasa saya berada di Kedah masa.
“Almarhumah Puan Chibuk dan Mahawa bt Peral meninggal dunia akibat sakit tua. Anak kepada Almarhumah Mahawa ini dahulunya di’agih’kan kepada arwah emak, seperti kelaziman orang-orang dahulu.
“Seterusnya ziarah mantan pegawai Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) Almarhum Rafiq Mohd Taib di Masjid Kariah Parit. Beliau meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah akibat kegagalan buah pinggang.
“Al-Fatihah. Mohon dibaca dan difidyahkan khusus buat ketiga-tiga arwah yang telah meninggalkan kita dan kembali kepada pencipta-Nya. Takziah,” ujar beliau.
Sementara itu menerusi hantaran berbeza beliau turut sama berbesar hati menghadiri Duan Wu atau Pesta Perahu Naga di Dewan SRJKC Chung Hua Kuala Pilah.
Adnan menyifatkan pesta tersebut disambut dengan meriah apabila mengetengahkan pameran mengenai kebudayaan, sejarah, makanan dan juga hasil kraf tangan.
“Terdapat juga koleksi foto lama pimpinan kaum Cina di Kuala Pilah, pameran sebegini amat menarik,” katanya lagi. – UMNO Online