Malaysia Perkukuh Peranan sebagai Hab Strategik ASEAN Dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China 2025

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai hab strategik pelaburan serantau menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China 2025 yang berlangsung hari ini.

Sidang kemuncak yang diadakan di ibu negara ini menyaksikan pelbagai pertemuan penting dan perbincangan strategik diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, selaku wakil Kerajaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Antara sorotan utama sidang ialah pertemuan dua hala dengan delegasi China melalui Guangzhou Industrial Holdings Group (GIIHG) dan China Council for the Promotion of International Trade (CCPIT).

Malaysia turut menyambut kehadiran pelabur dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) serta delegasi dari Dewan Perniagaan dan Industri Qatar.

Perbincangan memberi tumpuan kepada sektor strategik seperti logistik, pembangunan halal, teknologi kecerdasan buatan (AI), automotif dan tenaga hijau.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid menegaskan komitmen Malaysia terhadap diplomasi ekonomi yang inklusif dan berorientasikan rakyat.

“Sesi ini membuktikan keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap ASEAN yang kini mempunyai lebih 680 juta penduduk dan KDNK gabungan melebihi AS$3.6 trilion. Malaysia bersedia menjadi pintu masuk utama syarikat-syarikat China dan GCC untuk menembusi pasaran ASEAN,” katanya.

Beliau turut mempengerusikan sesi libat urus antara delegasi kerajaan dan komuniti perniagaan dari Arab Saudi dan China yang membincangkan peluasan pelaburan dua hala, menjadikan Malaysia sebagai pemudah cara utama dalam hubungan ekonomi ASEAN, GCC dan China.

Ahmad Zahid turut menzahirkan keyakinan bahawa kerjasama strategik yang terjalin akan menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi bernilai tinggi serta peluasan rangkaian perdagangan serantau dan global.

“Insya-Allah, hubungan erat ini akan menjadi pemangkin kepada masa depan ekonomi Malaysia yang lebih dinamik dan mampan,” tambah beliau.

Malaysia bukan sahaja bertindak sebagai tuan rumah, tetapi juga sebagai pemimpin serantau yang menawarkan persekitaran pelaburan stabil, dasar mesra pelabur dan visi ekonomi progresif demi kepentingan bersama ASEAN, GCC dan China. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79