Tertib, Persidangan Berjalan Lancar Bukti UMNO Masih Relevan – Jalaluddin
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Kelancaran mesyuarat UMNO peringkat cawangan Bahagian Jelebu mencerminkan permuafakatn yang utuh di kalangan akar umbi dan memperlihatkan komitmen masing-masing untuk terus melonjakkan parti hari ini.
Ketua UMNO Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata semangat yang ditonjolkan serta pelbagai lontaran pandangan adalah isi hati ahli-ahli parti di akar umbi.
Menurut beliau itulah bukti jelas bahawa perjuangan UMNO hari ini masih relevan dalam arus politik demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada kesemua 59 UMNO Cawangan di dalam bahagian Jelebu yang telah berjaya melaksanakan persidangan tahunan cawangan dengan lancar, tertib dan penuh semangat perjuangan.
“Tahniah juga kepada Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di peringkat cawangan yang masing-masing telah berjaya menyempurnakan amanah kepada parti.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen yang tinggi, kerjasama erat dan semangat juang yang masih utuh dalam kalangan ahli-ahli akar umbi UMNO di Jelebu. Ia juga membuktikan bahawa UMNO terus relevan sebagai wadah perjuangan bangsa dan agama, khususnya di peringkat akar umbi,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Kata beliau lagi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, sambutan yang cukup baik di semua cawangan sepanjang mesyuarat berlangsung adalah satu perkembangan yang amat positif.
“Kehadiran yang cukup baik di empat kawasan DUN dalam bahagian Jelebu merupakan bukti kukuh bahawa parti kita terus mara dan tidak lokek dalam mendepani cabaran politik semasa.
“Terima kasih ahli-ahli UMNO Jelebu. Terus gerak bersama saya untuk sebuah perjuangan yang dinamik ini. UMNO tetap utuh…UMNO terus maju. bersama kita perkuatkan perjuangan,” ujarnya. – UMNO Online