UMNO Terus Prihatin: Sharif Musa Aktif Salur Bantuan, Pulih Kemudahan Belia Di Lahad Datu
LAHAD DATU, 27 Mei – UMNO terus memperkukuh peranannya sebagai parti yang dekat dengan denyut nadi rakyat, apabila Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, tampil memenuhi pelbagai permintaan masyarakat, khususnya golongan belia di kawasan pedalaman seperti Kampung Lamak Silam, Kampung Sapagaya dan Kampung Bakau Sity Motor.
Sharif Musa menzahirkan komitmen terhadap kebajikan belia dan kemajuan kampung apabila beliau meninjau secara langsung keadaan kemudahan sukan yang telah dibina semasa era pemerintahan UMNO terdahulu.
Ujarnya, antara kemudahan tersebut termasuklah gelanggang bola tampar, dewan badminton, padang bola keranjang, padang futsal dan peralatan sukan lain yang suatu ketika dahulu aktif dimanfaatkan oleh para belia kampung.
“Kini semua telah menjadi usang dan amat bahaya untuk digunakan kerana semen banyak yang pecah dan berlubang. Tiada penyelenggaraan yang dilakukan, termasuk peralatan sukan belia kampung tidak lagi pernah menerima.
“Saya amat memahami kekecewaan para belia apabila melihat gelanggang dan peralatan sukan mereka tidak lagi selamat digunakan. Malah ada yang terpaksa menjahit jaring bola tampar sendiri sebagai alternatif,” jelas Sharif Musa kepada UMNO Online.
Sebagai langkah segera, beliau telah menyampaikan sumbangan awal berupa dua biji bola tampar dan satu set jaring baharu kepada para belia Kampung Lamak Silam.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk membaik pulih gelanggang bola tampar kampung tersebut dalam masa terdekat malah inisiatif ini mendapat sambutan hangat daripada para belia yang sudah lama menantikan perhatian dan sokongan seperti ini.
Tidak terhenti di situ, Sharif Musa menggerakkan usaha menunaikan permintaan belia Kampung Sapagaya dengan menyampaikan bola futsal, bola tampar dan jaring sebagai usaha menghidupkan semula aktiviti sukan yang sihat dan membina semangat komuniti.
Beliau juga tidak melupakan aspek kebajikan masyarakat apabila menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada para pemohon dari Kampung Bakau Sity Motor, terutamanya golongan memerlukan.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal tanggungjawab. Selagi UMNO diberi amanah, kita akan terus membantu rakyat tanpa jemu. UMNO dan rakyat berpisah tiada khususnya dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar bagi sesetengah penduduk.”
Jelasnya lagi, usaha berterusan ini membuktikan bahawa UMNO Lahad Datu bukan sahaja hadir semasa pilihan raya, tetapi terus aktif dan konsisten dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat setempat.
“Gerak kerja turun padang yang dilakukan ini mencerminkan nilai prihatin UMNO melaksanakan bertanggungjawab, dan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat.
“Dengan inisiatif-inisiatif seperti ini, kita yakin bahawa UMNO terus menjadi sandaran rakyat, khususnya dalam memelihara masa depan belia dan membina masyarakat yang sejahtera di Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online