Dr Asyraf Turun Padang, Santuni Masyarakat Gerik
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah turun padang untuk menyantuni masyarakat Gerik, Perak pada Isnin.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Asyraf memaklumkan beliau telah menziarahi penduduk sekitar termasuklah warga emas uzur dan meninjau keadaan rumah-rumah yang perlu dibaik pulih.
“Alhamdulillah, saya berpeluang meluangkan masa sepenuhnya bersama rakyat di sekitar kawasan Gerik melalui pelbagai program turun padang yang penuh bermakna.
“Seawal pagi, saya menziarahi penduduk yang diuji dengan musibah, warga emas uzur dan keluarga yang memerlukan perhatian di Kampung Umbut, Bandariang, Bersia Lama, Kampung Batu 6 dan Batu 4, Gerik.
“Saya turut meninjau keadaan rumah-rumah yang perlu dibaik pulih dan perkembangan pembinaan rumah baharu di Kampung Perah keluarga adik Intan yang hanya menetap di Rehat dan Rawat (R&R) Perah. Insya-Allah dalam sebulan lagi rumah ini akan siap sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, beliau yang juga Pengerusi MARA telah berkesempatan untuk berkelah dan beramah mesra bersama penduduk Tanjung Kekabu serta menyampaikan sumbangan penghargaan khidmat kepada warga KEMAS.
“Tengah hari, saya berkesempatan berkelah dan beramah mesra bersama penduduk kampung di Tanjung Kekabu. Suasana santai di tepi sungai yang damai ini menjadi ruang terbaik untuk bertanya khabar, mendengar sendiri suara dan harapan mereka.
“Di sebelah petang, saya bersama warga kerja KEMAS Parlimen Gerik untuk menyampaikan penghargaan atas khidmat mereka kepada masyarakat. Kemudian saya merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 4, Gerik.
“Ini adalah sebuah platform penting untuk memperkukuh peranan ibu bapa dan guru dalam memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak kita. Melalui MARA, kita bersedia membantu anak-anak ini untuk terus berjaya dalam aspek pendidikan mereka,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyantuni 200 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam Kem A+ yang memberi pendedahan awal mengenai laluan pendidikan tinggi.
“Sebelah malam, saya bergegas ke USAS Resort bagi menyantuni lebih 200 pelajar lepasan SPM dalam Kem A+ anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
“Program ini memberi pendedahan awal mengenai laluan pendidikan tinggi dan membina keyakinan diri para pelajar yang merupakan aset dan bakal pemimpin masa hadapan negara,” katanya lagi. – UMNO Online